PENYERANG muda N Sembilan, N Thanabalan gesa
rakan sekat pergerakan pemain Lee Andrew Tuck menjelang pertemuan menentang TFC
I di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat ini. - Foto Adzlan Sidek
SEREMBAN: Penyerang Negeri Sembilan, N Thanabalan mengakui
kelibat Lee Andrew Tuck mampu memusnahkan hajat pasukannya untuk meneruskan
rentak kemenangan di gelanggang sendiri apabila bertemu Terengganu FC I (TFC I)
pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat ini.
Katanya, pengalaman Lee Tuck bersama skuad Hobin Jang Hobin di
bawah bimbingan Jorg Steinebrunner dan Mohd Asri Ninggal musim lalu, sudah
tentu akan digunakan sebaiknya ketua jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim
dalam misi mereka membawa pulang tiga mata.
"Kami perlu lebih berwaspada dan tidak boleh ambil mudah
apabila melayan kunjungan TFC I nanti kerana Lee Tuck bekas pemain Negeri
Sembilan dan sudah tentu dia mempunyai pengalaman mengenai corak dan taktikal
kita.
"Pengalamannya sudah tentu digunakan sebaik mungkin oleh
Irfan Bakti untuk memerangkap bahagian pertahanan kami bagi mendapatkan
gol.
"Secara peribadi, saya dapat rasakan situasi itu bakal
berlaku dan pasukan kami perlu lebih berhati-hati dengan kelibat Lee Tuck serta
jentera serangan lawan bagi mengelak rekod baik di gelanggang sendiri
tercalar," katanya di sini, hari ini.
Thanabalan yang kembali membarisi senarai pemain skuad Rusa
ketika menentang Melaka United (MU) selepas tidak beraksi dalam dua perlawanan
awal menentang PKNP FC dan Kuala Lumpur, mengakui cabaran menentang TFC I
dijangka sengit.
Dia yang juga penyerang skuad bawah 23 tahun (B-23) negara
berkata, walaupun Negeri Sembilan dan TFC I sama-sama bersaing dalam kelompok
Liga Perdana musim lalu, tetapi cabaran kali ini pasti berbeza.
"Jika mengambil kira rekod pertemuan kedua-dua pasukan
sebelum ini di Paroi, sememangnya memihak kepada Negeri Sembilan, tapi kali ini
suasana perlawanan sudah berbeza dan masing-masing bersaing dalam liga
utama.
"Setiap mata penting untuk menentukan hala tuju kedua-dua
pasukan dan selaku tuan rumah, kami perlu mempertahankan kelebihan yang ada
untuk memastikan rekod kemenangan yang dicapai ke atas Kuala Lumpur pada 7
Februari lalu, dapat diulangi ke atas TFC I.
"Apapun, kami perlu pastikan segala kesilapan ketika tewas
kepada Melaka tidak berulang pada aksi itu, sebaliknya perlu bekerja keras
dengan memberikan persembahan lebih bertenaga sekali gus memastikan tiga mata
dalam genggaman pasukan," katanya.
Selepas tiga perlawanan, Negeri Sembilan kini menduduki tangga
kesembilan dengan tiga mata berbanding TFC I, di tempat kelima selepas
mengumpul lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan