KUALA LUMPUR: Hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga tahun ke
atas pemain yang terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan dianggap mampu
membendung masalah sama terus berulang dan menghantui bola sepak negara pada
masa depan.
Cadangan itu disuarakan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad sambil menjelaskan ia
mampu memberi pengajaran kepada pemain lain daripada terjebak dalam gejala
rasuah.
"Kesalahan ini (mengatur perlawanan) sangat berat kerana ia
merosakkan liga kita, jadi hukuman cukup berat perlu dikenakan ke atas mereka
yang terbukti bersalah.
"Bagi saya mereka patut dipenjara, minimum tiga tahun.
Selepas keluar penjara, mereka perlu digantung seumur hidup dan tidak boleh
terbabit langsung dalam aktiviti bola sepak, sama ada sebagai pegawai pasukan
atau jurulatih.
"Kita mahu hukuman itu memberi pengajaran kepada pemain
lain pada masa depan, biar semua pemain takut untuk melakukan rasuah,"
katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berdasarkan rekod, belum ada pemain yang terbabit dengan
aktiviti mengatur perlawanan dalam Liga M dipenjara dengan hukuman paling berat
dikenakan adalah digantung seumur hidup.
Pada Ogos tahun lalu, bekas pemain Piala Presiden T-Team pernah
dikenakan hukuman penjara dua tahun, itupun atas pertuduhan memberi keterangan
palsu pada perbicaraan kes mengatur perlawanan pada 2010.
Terbaru, Liga M sekali lagi dipalit isu mengatur perlawanan
hanya selepas tiga perlawanan musim ini dengan dua pemain Sarawak yang didakwa
terbabit rasuah sudah direman dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Selain itu, Ridzuan turut mencadangkan dua langkah lain yang
mungkin boleh dilakukan FAM untuk menangani masalah ini termasuk memperkemaskan
sistem pemantauan dan menyediakan kursus pengurusan kewangan kepada pemain.
"Sistem pelaksanaan FAM sekarang lebih baik daripada dulu,
tapi perkara ini masih berlaku. Jadi, FAM masih perlu pertingkatkan sistem
pemantauan mereka termasuk menjalinkan kerjasama dengan negara lain dalam
mengatasi masalah ini.
"Kalau kita nak berikan pendedahan mengenai keburukan
rasuah, pemain sudah tahu. Lebih baik kalau FAM dapat berikan kursus cara
menguruskan kewangan untuk masa depan pemain yang rata-rata bergaji tinggi.
"Ia kerana faktor kegagalan menguruskan kewangan dengan
baik dilihat antara punca pemain mengambil jalan singkat mencari pendapatan
sampingan dengan mengambil rasuah terutama apabila karier mereka semakin
menghampiri penghujung," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan