CORBIN-Ong mengakui
mahu lebih memberi fokus terhadap kelabnya sebelum memikirkan langkah
seterusnya. - Foto JOHOR Southern Tigers
KUALA LUMPUR: La'Vere Corbin-Ong bukan pemain terbaru dalam Liga
Malaysia (Liga M) yang menghabiskan masa lima tahun di Eropah sebelum menyertai
juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim musim ini.
Namun, hanya selepas empat perlawanan bersama JDT termasuk
penampilan pertama di Piala AFC, pertahanan kelahiran London itu dilihat cepat
menyesuaikan diri dengan corak bola sepak Malaysia.
Kelebihan itu dilihat menjadi faktor Corbin-Ong yang dibesarkan
di Kanada oleh bapanya dari Barbados dan ibu kelahiran Malaysia bakal dipanggil
oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bagi menghadapi dua perlawanan
antarabangsa bulan depan.
Bagaimanapun, Corbin-Ong mengakui mahu lebih memberi fokus
terhadap kelabnya sebelum memikirkan langkah seterusnya selepas ini.
"Fokus utama saya sekarang ini adalah kepada JDT dan cuba
membentuk permainan terbaik bersama pasukan.
"Apa yang akan hadir selepas ini, saya akan ambil selangkah
demi selangkah," kata Corbin-Ong, 26, yang menyertai JDT daripada kelab
divisyen dua Belanda, Go Ahead Eagles.
"Liga ini mempunyai standard yang berbeza daripada apa yang
saya lalui sebelum ini, hanya berbeza dari segi corak permainan.
"Sukar untuk dibandingkan dengan liga lain kerana saya baru
di sini dan saya hanya bermain tiga perlawanan, saya masih cuba menyesuaikan
diri dengan gaya permainan, rakan sepasukan dan pemain lawan."
Sekiranya Corbin-Ong membuat penampilan pertamanya bersama skuad
kebangsaan, dia akan menjadi pemain naturalisasi keenam yang mewakili Malaysia
selepas Matthew Davies, Darren Lok, Brendan Gan, Kiko Insa dan Khair Jones.
Buat masa ini, Corbin-Ong menikmati bola sepak di JDT bersama
jurulatih Ulisses Morais selepas beraksi di liga peringkat kedua Jerman dan
Belanda.
"JDT kelab yang luar biasa, saya tidak pernah berada di
kelab dengan kemudahan yang hebat dan ia bukti jelas mengenai apa yang mereka
mahu capai," kata Corbin-Ong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan