SENARAI 14 pemain skuad kebangsaan yang
mungkin akan dibarisi oleh pemain berdarah campuran. - Grafik BH
KUALA LUMPUR: Kesebelasan
utama skuad kebangsaan mungkin akan dibarisi oleh pemain berdarah campuran
keseluruhannya dalam masa terdekat.
Dengan La-Vere Corbin-Ong
menjadi pemain berdarah campuran terkini mendapat kerakyatan Malaysia,
pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe kini mempunyai pilihan pemain lebih
luas berbanding pengendali sebelum ini.
Dalam tempoh hanya lima
tahun, Persatuan Bola Sepak Malaysia yang sebelum ini tidak membenarkan pemain
naturalisasi menyertai skuad kebangsaan, kini menggalakkan kepulangan pemain
yang mempunyai darah campuran Malaysia.
Di bawah peratuan FIFA,
pemain perlu mempunyai pertalian darah dengan negara yang mahu diwakilinya,
sama ada ibu bapa atau nenek dan datuk mereka dilahirkan di negara itu.
Sehingga kini, 14 pemain
kelahiran luar negara diberikan kerakyatan tetapi kebanyakan mereka bermain di
posisi tengah dan pertahanan dengan hanya Darren Lok dan Sam Somerville
satu-satunya penyerang dan penjaga gol dalam senarai berkenaan.
Walaupun Cheng Hoe tidak
akan membentuk pasukan yang majoritinya dibarisi pemain berdarah campuran,
beliau masih boleh memanggil seberapa ramai yang dirasakan perlu bagi
memperkuat Harimau Malaya.
Darren yang juga penyerang
Johor Darul Ta'zim (JDT) akan mengetuai jentera serangan manakala rakan
sepasukannya, Natxo Insa menjadi arkitek di bahagian tengah dan disokong pemain
Perak, Brendan Gan serta gandingan FELDA United, Curran Ferns dan Stuart Wark.
Pertahanan pula akan
dibarisi bek tengah Bangkok Glass Kiko Insa, Khair Jones dari Melaka, pemain
serba boleh PKNS FC, Daniel Ting dan Matthew Davies dari Pahang serta
Corbin-Ong (JDT).
Somerville (JDT) akan
menjaga gawang manakala Nick Swirad (Melaka), Shazalee Ramlee (Sarawak)
dan Kevin Gunter bersedia di bangku simpanan.
Dalam bayangan kesebelasan
utama ini, pertahan JDT Junior Eldstal tidak disenaraikan kerana dia dilahirkan
di Sabah tetapi dibesarkan di Sweden dan England.
Bekas pengendali skuad
kebangsaan B Sathianathan berkata, Cheng Hoe mempunyai senarai pemain
naturalisasi yang mantap menjelang perlawanan persahabatan dengan Mongolia dan
kunjungan kelayakan Piala Asia ke Lubnan bulan depan.
"Jika pemain ini ada
ketika saya menjadi jurulatih kebangsaan, sudah pasti ia memberikan
perbezaan ketara," kata Sathianathan yang memegang jawatan itu dari tahun
2007 hingga 2009 dan kini bersama skuad Liga Perdana FELDA United.
"Lihat bagaimana
Singapura memenangi Piala Suzuki AFF 2012 dengan pemain asing dan Filipina
mengikut jejak mereka sekarang dan semakin dekat untuk layak ke Piala Asia.
"Pemain naturalisasi
ini akan kembali melonjak pasukan kebangsaan. Apabila mendapat keputusan
negatif, ia tidak membantu mengembangkan bola sepak negara."
Pasukan kebangsaan belum
pernah menang dalam 10 perlawanan terakhir mereka sejak November 2016 dan Cheng
Hoe kini perlu menamatkan kemarau kemenangan apabila bertemu Mongolia, 22 Mac
ini.
Cheng Hoe berkata, beliau
akan mempertimbangkan untuk memanggil pemain naturalisasi berdasarkan prestasi
mereka bersama kelab masing-masing.
Daripada 14 pemain
berkenaan, hanya Davies (14 kap), Darren (9), Brendan (8), Kiko Insa (6), Khair
(4) pernah menyarung jersi Harimau Malaya.
Brendan adalah pemain
naturalisasi pertama dipanggil mewakili Malaysia ketika Sukan Asia 2014 di
Incheon, Korea Selatan.
"Jika kita berterusan
kalah, generasi muda akan melupakan bola sepak dan kita tidak akan dapat
membentuk pemain tempatan berkualiti. Sebab itu kita perlukan pemain
naturalisasi untuk membentuk skuad kebangsaan yang mantap.
"Orang tidak peduli
sama ada mereka pemain tempatan atau naturalisasi kerana apa yang mereka lihat
ialah pemain Malaysia dalam jersi Malaysia," kata Sathianathan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan