WALAUPUN sekadar menduduki tempat ketiga dalam undian jaringan
tercantik Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di
China, Muhammad Daniel Amier Norhisham tetap akan mengenang gol yang dihasilkan
ketika Malaysia mengalahkan Arab Saudi 1-0 itu sebagai yang terbaik sepanjang
kariernya.
Malah, dia kini menjadikan gol itu sebagai azimat untuk menyusun
atur perjalanan kariernya dalam menggapai impian menyarung jersi Harimau Malaya
suatu hari kelak.
Daniel atau mesra dengan panggilan Boy berkata, tidak ada
sekelumit rasa kecewa apabila gagal meraih gelaran gol tercantik kerana baginya
dicalonkan dalam senarai 10 terbaik sudah dianggap bonus.
“Saya akan lebih mengenang gol ini sebagai jaringan yang
mencipta sejarah kerana membantu Malaysia mara ke suku akhir buat pertama kali.
“Pada saya itu lebih bernilai kerana kalau terpilih sebagai
jaringan tercantik sekalipun tapi gagal membantu Malaysia, ia tidak akan
membawa apa-apa makna kepada saya,” katanya.
Pemain muda FELDA United berusia 21 tahun itu meledak gol
berkenaan pada minit ke-28 dalam perlawanan terakhir kumpulan C yang menentukan
hidup mati skuad negara selepas kalah 1-4 kepada Iraq dan seri 1-1 dengan
Jordan dalam perlawanan terdahulu.
Dalam undian yang dilakukan melalui laman sesawang AFC,
penyerang Vietnam, Nguyen Quang Hai yang dicalonkan melalui dua jaringan
menduduki tempat pertama dan kedua.
Nguyen mendapat 139,704 undian melalui jaringan ke atas
Uzbekistan dan 53,970 undian untuk gol ke atas Qatar sementara Daniel hanya
meraih 11,106.
Seramai
218,915 orang mengambil bahagian sepanjang 25 hari tempoh undian yang berakhir
pada 2 Februari lalu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan