ADAKAH saingan Liga Malaysia (Liga M) boleh dianggap sebagai
‘liga persaraan’ selepas kebanjiran ramai pemain import berusia 30 tahun ke
atas pada musim ini?
Ini kerana berdasarkan statistik, 48.6 peratus pemain import
yang berdaftar dengan semua pasukan Liga M sudah boleh dikira sebagai pemain
‘tua’ dan jumlah itu membabitkan 45 pemain daripada 108 pemain import secara
keseluruhan.
Meskipun pengalaman dilihat menjadi aset penting buat kelompok
pemain ini, namun yang menjadi kerisauan sekiranya mereka sudah melepasi tahap
kemuncak sehingga gagal memberikan persembahan terbaik sekali gus menjadi punca
digugurkan tidak sampai semusim beraksi bersama pasukan mereka.
Daripada 60 pemain import yang beraksi dalam Liga Super, seramai
26 pemain berusia 30 tahun ke atas dengan pemain paling berusia adalah
penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa yang berusia 36 tahun
diikuti pemain tengah Korea Selatan yang beraksi bersama Negeri Sembilan, Kim
Do Heon (35).
Bagi saingan Liga Perdana pula, seramai 19 pemain berusia 30
tahun ke atas daripada 48 pemain import yang didaftarkan yang menyaksikan tiga
pemain berusia 34 tahun iaitu pertahanan Pulau Pinang, Ugo Ukah, penyerang UiTM
FC, Dao Bakary dan Kim Chigon (Sarawak).
Berdasarkan pecahan mengikut pasukan Liga Super, Perak menjadi
pemain paling ramai mendaftarkan pemain berusia 30 tahun ke atas apabila mereka
mendapatkan khidmat empat pemain dalam golongan usia terbabit iaitu Robert
Cornthwaite (32), Leandro Dos Santos (31), Wander Luiz (30) dan Misagh Bahadoran
(31) dengan seorang lagi pemain import mereka iaitu Gilmar berusia 29 tahun.
KIM DO-HEON
Tiga pasukan membariskan tiga pemain import berusia 30 tahun ke
atas iaitu Kedah yang mendaftarkan pemain tengah Brazil, Sandro da Silva (34),
Alvaro Silva (33) dan Pablo Pallares (31) selain Melaka United (MU) yang
membariskan pemain tengah Portugal, Tiago Filipe (32), Steven Gary (31) dan
Jeon Wooyoung (30).
Selain Kedah dan MU, PKNP FC turut membariskan tiga pemain
import berusia 30 tahun ke atas iaitu Clovis Franklin (32), Luben Gueorguiev
(32) serta Ritus Krjauklis (31) dengan PKNS FC menjadi satu-satunya pasukan
yang tidak memiliki pemain import ‘tua’.
Bagi saingan Liga Perdana, tiga pasukan meletakkan tiga pemain
import berusia 30 tahun ke atas iaitu Kuantan FA yang membariskan Andre
Francisco Williams (32), Zarko Korac (30) serta Alexandru Tudose (30) dan Pulau
Pinang yang mendapatkan khidmat Ugo Ukah (34), Kang Seungjo (32) dan Ken Ilso
(31).
Satu
lagi pasukan adalah Sarawak yang mendaftarkan Kim Chigon (34), Nebojsa
Marinkovic (31) dan Mateo Roskam (30) sementara PDRM serta UiTM FC menjadi dua
pasukan yang tidak memiliki pemain import berusia 30 tahun ke atas musim ini.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan