BERDASARKAN statistik,
48.6 peratus pemain import yang berdaftar dengan semua pasukan Liga M sudah
boleh dikira sebagai pemain 'tua'.
KUALA LUMPUR: Adakah
saingan Liga Malaysia (Liga M) boleh dianggap sebagai 'liga persaraan' selepas
kebanjiran ramai pemain import berusia 30 tahun ke atas pada musim ini?
Ini kerana berdasarkan
statistik, 48.6 peratus pemain import yang berdaftar dengan semua pasukan Liga
M sudah boleh dikira sebagai pemain 'tua' dan jumlah itu membabitkan 45 pemain
daripada 108 pemain import secara keseluruhan.
Meskipun pengalaman dilihat
menjadi aset penting buat kelompok pemain ini, namun yang menjadi kerisauan
sekiranya mereka sudah melepasi tahap kemuncak sehingga gagal memberikan
persembahan terbaik sekali gus menjadi punca digugurkan tidak sampai semusim
beraksi bersama pasukan mereka.
Daripada 60 pemain import
yang beraksi dalam Liga Super, seramai 26 pemain berusia 30 tahun ke atas
dengan pemain paling berusia adalah penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano
Figueroa yang berusia 36 tahun diikuti pemain tengah Korea Selatan yang beraksi
bersama Negeri Sembilan, Kim Do Heon (35).
Bagi saingan Liga Perdana
pula, seramai 19 pemain berusia 30 tahun ke atas daripada 48 pemain import yang
didaftarkan yang menyaksikan tiga pemain berusia 34 tahun iaitu pertahanan
Pulau Pinang, Ugo Ukah, penyerang UiTM FC, Dao Bakary dan Kim Chigon (Sarawak).
Berdasarkan pecahan
mengikut pasukan Liga Super, Perak menjadi pemain paling ramai mendaftarkan
pemain berusia 30 tahun ke atas apabila mereka mendapatkan khidmat empat pemain
dalam golongan usia terbabit iaitu Robert Cornthwaite (32), Leandro Dos Santos
(31), Wander Luiz (30) dan Misagh Bahadoran (31) dengan seorang lagi pemain
import mereka iaitu Gilmar berusia 29 tahun.
Tiga pasukan membariskan
tiga pemain import berusia 30 tahun ke atas iaitu Kedah yang mendaftarkan
pemain tengah Brazil, Sandro da Silva (34), Alvaro Silva (33) dan Pablo
Pallares (31) selain Melaka United (MU) yang membariskan pemain tengah
Portugal, Tiago Filipe (32), Steven Gary (31) dan Jeon Wooyoung (30).
Selain Kedah dan MU, PKNP
FC turut membariskan tiga pemain import berusia 30 tahun ke atas iaitu Clovis
Franklin (32), Luben Gueorguiev (32) serta Ritus Krjauklis (31) dengan PKNS FC
menjadi satu-satunya pasukan yang tidak memiliki pemain import 'tua'.
Bagi saingan Liga Perdana,
tiga pasukan meletakkan tiga pemain import berusia 30 tahun ke atas iaitu
Kuantan FA yang membariskan Andre Francisco Williams (32), Zarko Korac (30)
serta Alexandru Tudose (30) dan Pulau Pinang yang mendapatkan khidmat Ugo Ukah
(34), Kang Seungjo (32) dan Ken Ilso (31).
Satu lagi pasukan adalah
Sarawak yang mendaftarkan Kim Chigon (34), Nebojsa Marinkovic (31) dan Mateo
Roskam (30) sementara PDRM serta UiTM FC menjadi dua pasukan yang tidak
memiliki pemain import berusia 30 tahun ke atas musim ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan