PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP)
disarankan memansuhkan hukuman pemotongan mata sebaliknya mencari kaedah lain
bagi menghukum persatuan yang gagal memenuhi syarat pendaftaran.
Ini kerana kaedah pemotongan mata diamalkan sekarang dilihat
bukan saja tidak adil kepada pemain malah boleh membunuh semangat mereka yang
sedang berjuang dalam liga.
Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, pemain
tidak sepatutnya dijadikan mangsa kepada kecuaian dilakukan persatuan sebaliknya
hukuman patut dikenakan ke atas pentadbir bola sepak sesebuah pasukan.
“Kasihan pemain, bayangkan mereka bermandi peluh,
bertungkus-lumus di tengah padang untuk mendapatkan mata, tiba-tiba ia
dipotong. Ternyata ia tidak adil kepada mereka.
“Tidak mustahil tindakan pemotongan mata itu akan menyebabkan
pemain hilang semangat untuk bermain bersungguh-sungguh selepas itu dan
prestasi pasukan akan merudum. Ia secara tidak langsung pasti turut menjejaskan
kemeriahan liga.
“Saya berpendapat yang patut dihukum adalah persatuan bukan
pasukan. Apakah bentuk hukuman, ia boleh difikirkan FMLLP kerana saya bukan
pakar undang-undang,” katanya.
Wan Jamak berkata, walaupun pemansuhan hukuman pemotongan mata
itu bakal mencetuskan kontroversi kerana ia sudah dilaksanakan ke atas beberapa
pasukan pada musim lalu, namun ia tetap perlu dilakukan demi kebaikan bola
sepak negara.
“Ini undang-undang ciptaan manusia, bukan dari tuhan, ia boleh
diubah. Sudah tentu ada yang akan mempertikai atau memperlekehkan FMLLP kerana
tidak konsisten dengan pendirian mereka tapi mereka (FMLLP) mesti berani
melakukan penambahbaikan,” tegas Wan Jamak.
Kelmarin, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super, Selangor,
PKNS FC, Kuala Lumpur dan Kelantan gagal memenuhi syarat pendaftaran pasukan
meskipun sudah diberi peringatan serta peluang berbuat begitu.
Turut terpalit dengan isu itu ialah adalah enam pasukan Liga
Perdana - Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA (sekarang dikenali sebagai Marcerra
Kuantan FA), PDRM, UKM FC dan MISC-MIFA.
Jika bersandarkan hukuman dikenakan ke atas Kelantan, T-Team,
Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim lalu, 10 pasukan itu berada
dalam bahaya dipotong mata.
Bagaimanapun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku
Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Southern
Tigers, kelmarin tidak bersetuju andai FMLLP mengenakan tindakan pemotongan
mata seperti dilaksanakan musim lalu.
Ia
bagi mengelak spekulasi buruk terhadap beliau atau pasukan Johor Darul Ta’zim
yang mungkin dianggap mahu mensabotaj pasukan lain.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan