MENDIANG Chow Chee Keong (kanan)
mula terkenal apabila dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik Konfederasi
Bola Sepak Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut bermula dari tahun 1966
hingga 1970. - Foto ARKIB NSTP
KUALA LUMPUR: "Dia sememangnya begitu popular semasa
beraksi di Hong Kong. Kalau kita tengok majalah sukan di Hong Kong pada waktu
itu, memang kita akan sentiasa tengok mukanya," kata bekas rakan sepasukan
mendiang Chow Chee Keong, Datuk Mohamad Bakar.
Menurut penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980 itu,
mendiang memiliki perwatakan yang menarik jadi tidak menghairankan apabila
namanya begitu popular ketika beraksi di negara terbabit sekitar tahun 1970-an.
Bagaimanapun, di sebalik memiliki reputasi yang hebat selaku
penjaga gol terbaik Asia ketika itu, Bakar mengakui terkilan selepas tidak
berkesempatan untuk 'berkongsi padang' bersama Chee Keong ketika beraksi
bersama skuad senior negara.
"Pada zaman saya, kami jarang memanggil pemain yang beraksi
di luar negara memandangkan pada masa itu, kita juga sudah memiliki beberapa
penjaga gol yang berkaliber seperti R Arumugam, Wong Kam Fook dan juga Lim Fung
Kee.
"Jadi, kalau hendak menyorot kembali masa, mungkin hanya
itulah sedikit rasa terkilan yang boleh saya kenangkan. Malah saya sekadar
sempat beraksi bersamanya ketika mewakili skuad remaja sahaja," katanya
ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut mengenai Chee Keong, Bakar menyifatkan mendiang
sebagai seorang pemain yang memiliki bakat semulajadi untuk seorang penjaga gol
yang berwibawa.
"Dia memiliki fizikal yang tinggi dan bukan sahaja boleh
beraksi sebagai penjaga gol, dia juga boleh beraksi selaku penyerang.
"Dia adalah contoh dan model ikutan dalam bola sepak. Tidak
boleh disangkal betapa dia adalah antara penjaga gol terbaik yang pernah
dihasilkan oleh Malaysia," katanya.
Bekas penjaga gol kebangsaan era 1960-an itu meninggal dunia
pada jam 7 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Dia yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun itu
mula terkenal apabila dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik Konfederasi
Bola Sepak Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut bermula dari tahun 1966
hingga 1970.
Selepas membarisi skuad bawah 20 tahun negara (B-20) pada usia
13 tahun, dia berjaya muncul antara pemain termuda menyarung jersi skuad utama
kebangsaan apabila berbuat demikian pada usia 15 tahun.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan