“TIDAK ada masalah kerana
mereka tetap anak Malaysia!,” kata bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk
Mohamad Bakar.
Bekas penolong jurulatih Olimpik Moscow 1980 itu mengakui satu
langkah yang wajar untuk skuad Harimau Malaya memanfaatkan kemampuan pemain
berdarah campuran yang memiliki kelayakan untuk menyarung jersi negara sebagai
satu usaha untuk memantapkan lagi barisan pemain negara.
Katanya, meskipun pemain berdarah campuran dilihat bukanlah
pemain ‘berdarah sejati’ seperti pemain tempatan yang lahir di sini namun
mereka tetap dianggap sebagai anak Malaysia memandangkan mereka memiliki
pertalian darah dengan rakyat yang lahir di negara ini.
“Mengenai soal pemain berdarah campuran, itu bukanlah satu isu
yang besar kerana secara dasarnya, mereka tetap anak Malaysia. Saya tidak
setuju jika kita mengambil orang luar yang tiada sebarang kaitan dengan negara
ini untuk beraksi mewakili Malaysia.
“Cuma saya mahu mengingatkan kepada barisan kejurulatihan skuad
kebangsaan bahawa mereka perlu memastikan pemain berdarah campuran ini bagus
dan mampu memberi nilai tambah untuk membantu skuad kebangsaan menjadi lebih
baik.
“Kalau setakat mahu mengisi tempat dalam skuad kebangsaan tetapi
taraf permainan mereka pun lebih kurang sama dengan pemain tempatan, lebih baik
kita beri peluang kepada pemain tempatan sahaja,” katanya ketika dihubungi hari
ini.
Dalam masa sama, Mohamad Bakar turut menggesa barisan
kejurulatihan supaya tidak begitu selesa dan hanya bergantung harap kepada
kemampuan pemain berdarah campuran semata-mata.
“Walaupun kita memiliki pemain berdarah campuran yang bagus,
kita tidak boleh mengabaikan pemain tempatan. Mereka tetap perlu diberi peluang
untuk membuktikan kemampuan mereka,” katanya.
Terdahulu, skuad Harimau Malaya memiliki cukup ramuan untuk
menggegar saingan Piala AFF penghujung tahun ini sekiranya 10 pemain
naturalisasi yang beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga-M) disenaraikan oleh
pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Berdasarkan senario semasa liga tempatan, kejayaan beberapa
pasukan mengesan pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia bukan
sahaja menguntungkan pasukan negeri, malah ianya turut memberi tempias positif
kepada skuad negara.
Menerusi statistik terkini, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul sebagai
kelab paling ramai mendaftarkan pemain berdarah campuran seperti Natxo Insa,
La’Vere Corbin-Ong, Darren Lok dan Junior Eldstal.
Ia
diikuti Melaka United iaitu Khair Jones dan Nicholas Ryan Swirad, selain
Matthew Davies (Pahang), Brendan Gan (Perak), Lee Andrew Tuck (Terengganu FC)
serta Kiko Insa yang menyarung jersi kelab divisyen satu Thailand, Bangkok
Glass.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan