KETUA Pegawai Eksekutif Football Malaysia
Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam mahu setiap pasukan
mendaftarkan pemiliknya. Ini penting bila isu gaji tertunggak dibangkitkan,
kita akan ada pihak yang bertanggung jawab. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia
(FMLLP) bercadang mengubah struktur organisasi setiap pasukan bertanding dalam
Liga Malaysia (Liga-M) dengan mengenal pasti pemilik pasukan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata,
kepentingan untuk mengenal pasti pemilik setiap pasukan bukan hanya bertujuan
bagi urusan isu berkaitan gaji malah untuk melakukan perubahan dalam struktur
pasukan bola sepak secara keseluruhannya.
"Kita memang ada cadangan untuk melakukan perubahan dalam
struktur pasukan dalam Liga Malaysia, kita mahu setiap pasukan mendaftarkan
pemiliknya. Ini penting bila isu gaji tertunggak dibangkitkan, kita akan ada
pihak yang bertanggung jawab.
"Ini seperti syarikat yang memiliki pemilik, jika gaji
pekerja tidak dibayar, kita tahu siapa yang akan bertanggung jawab. Kita dalam
proses memasukkan peraturan baharu ini dalam syarat bagi pelesenan kelab,
mungkin dalam tempoh dua tahun akan datang, struktur baru pasukan ini boleh
dilaksanakan," katanya.
Isu tungggakan gaji pemain terus menghantui Liga-M apabila
beberapa pasukan dikatakan masih lagi gagal melunaskan tanggungjawab mereka.
Dalam laporan terbaharu, Kuantan FA didakwa masih belum
menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM145,250 kepada enam bekas pemain pada 15
Januari lalu.
Kelab Liga Perdana itu masih ada enam kes tunggakan gaji yang
dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan 21 dengan FAM.
Kevin berkata, setakat ini hanya kelab Liga Super, Johor Darul
Ta'zim (JDT) yang mempunyai pemilik iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim.
"Ada pihak yang tidak senang bila saya bagi contoh JDT,
tapi hakikatnya, kelab ini yang mempunyai struktur organisasi yang baik. Jika
kita lihat presiden pasukan negeri, mereka semua adalah dilantik, jadi siapa
yang akan bertanggungjawab secara undang-undang bila masalah seperti tunggakan
gaji ini timbul?," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan