WAI Hwang (kanan) mahu pemain lain jadikan kes
Syihan sebagai pengajaran. FOTO/FAIL
KUALA LUMPUR: Jurulatih penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara
(B-23), Yong Wai Hwang menganggap kes doping yang menimpa Ahmad Syihan Hazmi
memberi mesej jelas kepada pemain dan juga pegawai supaya lebih berhati-hati
selepas ini.
Beliau mengakui kecewa dengan berita mengejutkan itu
memandangkan pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai pengambilan makanan
tambahan berbentuk protein oleh Syihan yang dikatakan menjadi punca pemain
berkenaan disahkan positif ujian sampel A bahan terlarang, metabolite
methandienone di Kejuaraan AFC B-23 di Changsu, China bulan lalu.
"Memang ini berita yang mengejutkan dan mengecewakan saya,
kerana saya rapat dengannya. Dia bukan pemain bermasalah, sepanjang bersama
pasukan, dia seorang pemain yang rajin berlatih malah sering melakukan latihan
tambahan sendirian.
"Selama ini saya tak pernah menyangka dia ada mengambil
bahan terlarang. Dia tidak ada memaklumkan kepada saya mengenai protein yang dia
ambil. Sememangnya sudah tanggungjawab kami untuk sering mengingatkan pemain
mengenai doping dan kita juga sudah memberikan ceramah kepada pemain.
"Bagi saya ini satu pengajaran bukan saja kepada Syihan
malah kepada pemain dan pegawai supaya sentiasa beringat mengenai bahaya
pengambilan bahan makanan tambahan. Memang sebelum ini kita hanya membenarkan
pemain mengambil sebarang vitamin atau makanan tambahan yang dibekalkan oleh
ISN (Institut Sukan Negara)," kata Wai Hwang, hari ini.
Semalam FAM mengesahkan Syihan didapati gagal ujian doping yang
dilakukan secara rawak selepas perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di
Stadium Changshu pada 10 Januari lalu.
Syihan yang kini mewakili Negeri Sembilan bersetuju untuk
melakukan ujian sampel B kelmarin namun dia kini dikenakan penggantungan
sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola
sepak termasuk perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan perlawanan
rasmi sebelum keputusan ujian berkenaan diumumkan.
Pemain berusia 22 tahun itu menafikan mengambil sebarang bahan
terlarang namun mengakui ada mengambil protein sebagai makanan tambahan untuk
memulihkan tubuhnya selepas berlatih.
Wai Hwang berharap sokongan akan tetap diberikan kepada Syihan
kerana bimbang hukuman penggantungan yang lama boleh meranapkan karier pemain
berpotensi itu.
"Kita berharap agak ujian sampel B memihak kepadanya. Andai
kekal positif, kita berharap agar dia tidak dikenakan hukuman penggantungan
yang lama kerana ia boleh membantutkan perkembangannya sebagai pemain. Bukan
mudah untuk dia mendapatkan semula prestasi terbaiknya jadi kita perlu berikan
dia motivasi untuk bangkit semula," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan