Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Khamis, 22 Februari 2018

'Penjaga gol paling sempurna'


“PADA saya, beliau penjaga gol paling sempurna yang Malaysia pernah ada,” kata bekas pemain kebangsaan Bakri Ibni yang memuji kehebatan mendiang Chow Chee Keong.
Menurutnya, meskipun peminat tempatan mungkin lebih mengenali bekas penjaga gol seperti R Arumugam, Wong Kam Fook, Lim Fung Kee dan Rashid Hassan namun mendiang yang pernah beraksi bersama Hong Kong Rangers FC memiliki kelebihan tersendiri.
“Saya mengikuti perkembangan Chee Keong sebagai penjaga gol ketika saya remaja lagi. Beliau pemain senior dan saya sempat bermain bersamanya ketika Kelayakan Pra Piala Dunia 1981 di Kuwait. Beliau ketika itu beraksi di Hong Kong dan dipanggil untuk memperkuatkan pasukan.
“Memang tak dinafikan beliau seorang penjaga gol hebat, beliau cukup lengkap kerana bukan saja boleh menyelamatkan bola dengan ketangkasan tangannya, malah boleh membaca permainan dengan baik sehingga beliau boleh bertindak seperti pemain pertahanan, ‘memotong’ lorongan bola pemain lawan.
“Apa yang mengagumkan saya, beliau seorang pemain yang cukup rajin berlatih. Selain latihan tambahan yang dilakukan sendiri, di tangannya sentiasa ada alat senaman penggenggam tangan ‘hand gripper’, kadang kala waktu makan sekalipun beliau bawa. Itu sebab otot-otot tangannya timbul,” kata Bakri ketika dihubungi, hari ini.
Chee Keong, bekas penjaga gol kebangsaan era 1960-an meninggal dunia pada jam 7 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Beliau yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun itu mula membarisi skuad bawah 20 tahun negara (B-20) pada usia 13 tahun sebelum muncul sebagai antara pemain termuda menyarung jersi skuad utama kebangsaan ketika berusia 15 tahun.
Chee Keong dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut bermula dari tahun 1966 hingga 1970.
Bakri yang membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 berkata, sehingga kini beliau belum dapat melihat pengganti Chee Keong.
“Saya fikir dengan sikap dan kemampuan yang ada pada dirinya, tiada lagi pemain lain boleh menandinginya. Beliau pemain yang bercita-cita tinggi sehingga menjadi pemain profesional di Hong Kong dan membuka jalan buat beberapa lagi pemain kita bermain di sana.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan