EVAN Dimas (dua dari kanan) sertai Selangor
musim ini. -Foto MOHD BADLISHAH MOHD ALI
KUALA LUMPUR: Negara jiran,
Indonesia menjadi negara Asia Tenggara paling 'laris' selepas lima pemain dari
republik itu beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
Bekas pemain Selangor,
Andik Vermansyah menjadi satu-satunya pemain Garuda yang terus kekal bersaing
di Malaysia apabila menyertai juara Piala FA 2017, Kedah selepas kontraknya
tidak disambung oleh Red Giants musim ini.
Bagaimanapun, Selangor
meneruskan tradisi untuk 'mengimport' pemain dari Indonesia apabila berjaya
mengikat dua tonggak muda Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn sekali gus menjadi
satu-satunya pasukan yang mendapat dua pemain dari satu negara ASEAN yang sama
bagi musim 2018.
Dua lagi pemain Indonesia
yang beraksi dalam Liga Super musim ini adalah pertahanan Kuala Lumpur, Achmad
Jufriyanto dan bekas penyerang Persib Bandung, Ferdinand Sinaga yang menyertai
jaguh Pantai Timur, Kelantan.
Sementara itu, Singapura
dan Kemboja berkongsi tempat kedua apabila empat pemain dari negara itu menarik
minat beberapa pasukan dalam Liga Super dengan ada antara pemain terbabit
menyertai pasukan yang sama.
Pemain tengah bertahan,
Harris Harun kekal bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan
Shahdan Sulaiman menyertai Melaka United, Pahang mendapatkan khidmat Safuwan
Baharuddin sementara Faris Ramli mengisi kuota import ASEAN bagi PKNS FC.
Turut menyertai Safuwan
dalam skuad Tok Gajah adalah bekas penyerang Boeung Ket Angkor, Chan Vathanaka,
Keo Sokpheng menyertai pendatang baharu Liga Super, PKNP FC sementara pemain
kacukan Perancis-Kemboja, Bin Chanthacheary menabur khidmat bersama Terengganu
FC (TFC).
Bekas pemain sayap Preah
Khan Reach Svay Rieng FC, Prak Mony Udom menjadi pemain Kemboja terakhir ke
negara ini selepas menyertai Negeri Sembilan pada saat akhir bagi menggantikan
pemain import dari Singapura, Madhu Mohana yang digugurkan susulan kecederaan
serius.
Dua pemain dari Filipina
turut menyertai kancah Liga Super musim ini iaitu pemain pertahanan Kedah,
Alvaro Silva dan pemain sayap Perak, Misagh Bahadoran.
Secara keseluruhan, 15
pemain Asia Tenggara didaftarkan musim ini susulan pengenalan import kelima
yang diperkenalkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP)
dengan semua 12 pasukan boleh mengambil import dari ASEAN untuk pasukan
masing-masing.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan