BENTUK hukuman yang bakal dikenakan ke atas pasukan
yang gagal melengkapkan pendaftaran untuk bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M)
akan diputuskan Lembaga Pengarah Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak
Malaysia (FMLLP), awal bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam bagaimanapun
tidak menolak kemungkinan pasukan terbabit akan diberi peluang ‘kedua’ termasuk
diberi ruang mengemukakan rayuan.
“Seperti biasa, kes ini akan dibawa ke mesyuarat Lembaga
Pengarah pada minggu pertama bulan depan dan segala keputusan (hukuman) hanya
akan ditentukan oleh Lembaga Pengarah.
“Kalau Lembaga Pengarah memberi hukuman ringan, itu mandat
mereka. Tapi, bila keputusan dibuat, mungkin masih ada lagi ruang
untuk pasukan mengemukakan rayuan.
“Contohnya, beberapa pasukan dipotong enam mata musim lalu,
namun selepas membuat rayuan, hukuman itu dikurangkan kepada tiga mata,”
katanya.
Isnin lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super termasuk
Kelantan, Selangor, PKNS dan Kuala Lumpur serta enam dari Liga Perdana iaitu
Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC gagal melengkapkan
dokumen pendaftaran atau menghantar dokumen melebihi tarikh akhir ditetapkan, 3
Februari lalu.
Malah, pasukan berkenaan berpotensi dikenakan hukuman potong
mata seperti yang dilakukan FMLLP ke atas Kelantan, T-Team, ATM dan Perlis
musim lalu.
Sukan NSTP semalam bagaimanapun melaporkan bekas Pengerusi
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah
menyifatkan hukuman potong mata ke atas pasukan terbabit satu tindakan kejam.
Namun, Kevin menjelaskan pihaknya bukan mahu menganiaya
mana-mana pasukan, tetapi lebih kepada membendung masalah sama terus berulang
pada masa depan.
“Kalau kita tidak tegas orang kata FMLLP tidak buat kerja, tapi
bila kita bertindak tegas orang marah pula. Seperti saya katakan tujuan kita
bukan untuk menghukum dan menganiaya pasukan.
“Memang ada pasukan berdepan kesulitan melengkapkan pendaftaran
kerana beberapa masalah yang dihadapi mereka. Kita sebenarnya sedia membantu jika
mereka (pasukan) sentiasa berhubung dengan FMLLP.
“Walaupun
kita sedia membantu ada juga pasukan yang mendiamkan diri sedangkan peringatan
sudah diberikan mengenai keperluan dan tarikh tutup melengkapkan pendaftaran
pasukan,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan