NEGARA jiran, Indonesia menjadi negara Asia Tenggara paling
‘laris’ selepas lima pemain dari republik itu beraksi dalam saingan Liga Super
musim ini.
Bekas pemain Selangor, Andik Vermansyah menjadi satu-satunya
pemain Garuda yang terus kekal bersaing di Malaysia apabila menyertai juara
Piala FA 2017, Kedah selepas kontraknya tidak disambung oleh Red Giants musim
ini.
Bagaimanapun, Selangor meneruskan tradisi untuk ‘mengimport’
pemain dari Indonesia apabila berjaya mengikat dua tonggak muda Evan Dimas dan Ilham
Udin Armaiyn sekali gus menjadi satu-satunya pasukan yang mendapat dua pemain
dari satu negara ASEAN yang sama bagi musim 2018.
Dua lagi pemain Indonesia yang beraksi dalam Liga Super musim
ini adalah pertahanan Kuala Lumpur, Achmad Jufriyanto dan bekas penyerang
Persib Bandung, Ferdinand Sinaga yang menyertai jaguh Pantai Timur, Kelantan.
Sementara itu, Singapura dan Kemboja berkongsi tempat kedua
apabila empat pemain dari negara itu menarik minat beberapa pasukan dalam Liga
Super dengan ada antara pemain terbabit menyertai pasukan yang sama.
Pemain tengah bertahan, Harris Harun kekal bersama juara Liga
Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Shahdan Sulaiman menyertai Melaka United,
Pahang mendapatkan khidmat Safuwan Baharuddin sementara Faris Ramli mengisi
kuota import ASEAN bagi PKNS FC.
Turut menyertai Safuwan dalam skuad Tok Gajah adalah bekas
penyerang Boeung Ket Angkor, Chan Vathanaka, Keo Sokpheng menyertai pendatang
baharu Liga Super, PKNP FC sementara pemain kacukan Perancis-Kemboja, Bin
Chanthacheary menabur khidmat bersama Terengganu FC (TFC).
Bekas pemain sayap Preah Khan Reach Svay Rieng FC, Prak Mony
Udom menjadi pemain Kemboja terakhir ke negara ini selepas menyertai Negeri
Sembilan pada saat akhir bagi menggantikan pemain import dari Singapura, Madhu
Mohana yang digugurkan susulan kecederaan serius.
Dua pemain dari Filipina turut menyertai kancah Liga Super musim
ini iaitu pemain pertahanan Kedah, Alvaro Silva dan pemain sayap Perak, Misagh
Bahadoran.
Secara
keseluruhan, 15 pemain Asia Tenggara didaftarkan musim ini susulan pengenalan
import kelima yang diperkenalkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak
Malaysia (FMLLP) dengan semua 12 pasukan boleh mengambil import dari ASEAN
untuk pasukan masing-masing.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan