PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa semua pasukan Liga
Malaysia (Liga M) memberi lebih banyak peluang kepada pemain skuad bawah 23
(B-23) tahun negara beraksi bagi mengelak aksi mereka 'berkarat'.
Timbalan presidennya, Datuk Yusoff Mahadi berkata, minit
permainan penting khususnya buat pemain muda yang masih memiliki banyak potensi
untuk dibangunkan sekali gus membantu mematangkan lagi corak permainan mereka.
"Memang tidak dinafikan terdapat beberapa pemain B-23 yang
beraksi dalam kesebelasan utama pasukan dalam kancah Liga M, namun saya
mengharapkan agar lebih ramai lagi yang diberi kesempatan beraksi secara lebih
kompetitif.
"Hanya dengan memberi mereka peluang beraksi sahaja dapat
membantu meningkatkan lagi kualiti permainan mereka dan dengan kemajuan yang
dicapai di pentas Asia baru-baru ini, kita mahukan mereka menjadi lebih baik.
"Justeru, saya mengharapkan agar pasukan dapat meletakkan
kepercayaan kepada pemain muda terbabit kerana saya yakin mereka mampu
menggalas tanggungjawab yang diberikan," katanya ketika dihubungi hari
ini.
Pada masa sama, Yusoff yang juga pengurus skuad B-23 optimis
betapa pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mampu muncul antara pencabar
pada Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Indonesia, Ogos depan.
Jelas Yusoff, pencapaian sebagai lapan pasukan terbaik yang
diraih pada Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China, bulan
lalu dilihat membantu meningkatkan lagi reputasi negara pada kejohanan
peringkat benua itu nanti.
"Dengan kejayaan di pentas Asia baru-baru ini, sudah tentu
skuad negara akan dipandang sebagai pencabar dan pasukan lain pasti merisik
kekuatan pasukan dan kemampuan setiap pemain menjelang temasya itu.
"Sebab itulah kita tidak boleh terlalu selesa dengan apa
yang kita ada buat masa ini. Jadi, pemain perlu meningkatkan prestasi
masing-masing kerana negara luar sudah mula memandang kemampuan mereka,"
katanya.
Badan
induk itu dijangka menghantar skuad B-23 untuk menyertai temasya terbesar Asia
itu bagi meneruskan pendedahan buat pemain menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan