FERNS (kanan) sedia
sahut cabaran perkasakan Harimau Malaya.
KUALA LUMPUR: Cadangan bagi
membuka pintu kepada lebih ramai pemain berdarah kacukan untuk menyarung jersi
pasukan bola sepak kebangsaan disambut baik oleh Curran Singh Ferns.
Malah, dia sendiri mengakui
sedia untuk dipanggil pada bila-bila masa jika diperlukan.
Pemain darah campuran
Malaysia-Australia yang kini mewakili FELDA United itu berpendapat sebarang
langkah memantapkan skuad kebangsaan perlu disokong kerana skuad Harimau Malaya
kini memerlukan 'suntikan' untuk kembali mengaum.
"Saya berpendapat ini
idea yang bagus dan boleh dicuba. Tidak salah kita membuat eksperimen dengan
cara ini. Mana tahu mungkin ia boleh membawa hasil yang dimahukan.
"Lagipun pemain
berdarah kacukan yang mempunyai susur galur keluarga sesebuah negara memang
dibolehkan mewakili pasukan kebangsaan negara itu, walaupun mereka tidak
dilahirkan atau dibesarkan di situ.
"Saya sendiri walaupun
dilahirkan dan dibesarkan di Australia, namun masih memiliki ikatan kukuh
dengan keluarga ibu saya di Pulau Pinang. Saya mempunyai ahli keluarga yang
ramai di sini," kata Ferns.
Ferns menganggap penggunaan
pemain berdarah kacukan dalam skuad kebangsaan bukan perkara aneh kerana telah
dipraktikkan banyak negara.
Cuma, katanya, mungkin agak
baharu di sini kerana hanya sejak kebelakangan ini saja pemain kacukan
membanjiri liga negara.
Ketika ini terdapat 14
pemain kelahiran luar negara yang mempunyai susur galur keluarga di negara ini
layak dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Antaranya adalah dua pemain
Johor Darul Ta'zim iaitu Natxo Insa dan La-Vere Corbin-Ong.
Pemain lain seperti Matthew
Davies, Brendan Gan, Kiko Insa, Khair Jones dan Darren Lok menjadi perintis
kepada kemasukan pemain berstatus sedemikian dalam skuad kebangsaan.
Bagaimanapun Ferns
bersetuju status sebagai pemain kacukan bukan tiket automatik untuk mereka
dipilih menyarung jersi pasukan kebangsaan sebaliknya setiap pemain perlu
diberi 'padang yang sama rata'.
"Kalau anda bagus,
anda layak dipilih walau siapa pun anda. Proses itu sangat mudah kerana
kejayaan sesebuah pasukan itu bukan ditentukan oleh DNA seseorang pemain tapi
melalui kemampuan di tengah padang.
"Saya sendiri tidak
layak untuk menyatakan saya bagus untuk pasukan Malaysia. Tapi, jika jurulatih
pasukan kebangsaan fikir saya mampu beri sumbangan, saya bersedia pada
bila-bila masa untuk menyahut panggilan.
"Memang menjadi impian
saya untuk mewakili Malaysia. Saya berasa bangga jika dapat melakukannya malah
akan memberi yang terbaik kerana saya juga rakyat negara ini," kata pemain
berusia 24 tahun itu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan