CADANGAN bagi membuka pintu kepada lebih ramai pemain berdarah
kacukan untuk menyarung jersi pasukan bola sepak kebangsaan disambut baik oleh
Curran Singh Ferns.
Malah, dia sendiri mengakui sedia untuk dipanggil pada bila-bila
masa jika diperlukan.
Pemain darah campuran Malaysia-Australia yang kini mewakili
FELDA United itu berpendapat sebarang langkah memantapkan skuad kebangsaan
perlu disokong kerana skuad Harimau Malaya kini memerlukan ‘suntikan’ untuk
kembali mengaum.
“Saya berpendapat ini idea yang bagus dan boleh dicuba. Tidak
salah kita membuat eksperimen dengan cara ini. Mana tahu mungkin ia boleh
membawa hasil yang dimahukan.
“Lagipun pemain berdarah kacukan yang mempunyai susur galur
keluarga sesebuah negara memang dibolehkan mewakili pasukan kebangsaan negara
itu, walaupun mereka tidak dilahirkan atau dibesarkan di situ.
“Saya sendiri walaupun dilahirkan dan dibesarkan di Australia,
namun masih memiliki ikatan kukuh dengan keluarga ibu saya di Pulau Pinang.
Saya mempunyai ahli keluarga yang ramai di sini,” kata Ferns.
Ferns menganggap penggunaan pemain berdarah kacukan dalam skuad
kebangsaan bukan perkara aneh kerana telah dipraktikkan banyak negara.
Cuma, katanya, mungkin agak baharu di sini kerana hanya sejak
kebelakangan ini saja pemain kacukan membanjiri liga negara.
Ketika ini terdapat 14 pemain kelahiran luar negara yang
mempunyai susur galur keluarga di negara ini layak dipanggil oleh pengendali
skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Antaranya adalah dua pemain Johor Darul Ta’zim iaitu Natxo Insa dan
La-Vere Corbin-Ong.
Pemain lain seperti Matthew Davies, Brendan Gan, Kiko Insa,
Khair Jones dan Darren Lok menjadi perintis kepada kemasukan pemain berstatus
sedemikian dalam skuad kebangsaan.
Bagaimanapun Ferns bersetuju status sebagai pemain kacukan bukan
tiket automatik untuk mereka dipilih menyarung jersi pasukan kebangsaan
sebaliknya setiap pemain perlu diberi ‘padang yang sama rata’.
“Kalau anda bagus, anda layak dipilih walau siapa pun anda.
Proses itu sangat mudah kerana kejayaan sesebuah pasukan itu bukan ditentukan
oleh DNA seseorang pemain tapi melalui kemampuan di tengah padang.
“Saya sendiri tidak layak untuk menyatakan saya bagus untuk
pasukan Malaysia. Tapi, jika jurulatih pasukan kebangsaan fikir saya mampu beri
sumbangan, saya bersedia pada bila-bila masa untuk menyahut panggilan.
“Memang
menjadi impian saya untuk mewakili Malaysia. Saya berasa bangga jika dapat
melakukannya malah akan memberi yang terbaik kerana saya juga rakyat negara
ini,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan