KEVIN tak tolak
kemungkinan beri peluang 'kedua'. -Foto fail
KUALA LUMPUR: Bentuk hukuman yang bakal dikenakan ke
atas pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran untuk bersaing dalam Liga
Malaysia (Liga M) akan diputuskan Lembaga Pengarah Perkongsian Liabiliti Terhad
Bolasepak Malaysia (FMLLP), awal bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam bagaimanapun
tidak menolak kemungkinan pasukan terbabit akan diberi peluang 'kedua' termasuk
diberi ruang mengemukakan rayuan.
"Seperti biasa, kes ini akan dibawa ke mesyuarat Lembaga
Pengarah pada minggu pertama bulan depan dan segala keputusan (hukuman) hanya
akan ditentukan oleh Lembaga Pengarah.
"Kalau Lembaga Pengarah memberi hukuman ringan, itu mandat
mereka. Tapi, bila keputusan dibuat, mungkin masih ada lagi ruang
untuk pasukan mengemukakan rayuan.
"Contohnya, beberapa pasukan dipotong enam mata musim lalu,
namun selepas membuat rayuan, hukuman itu dikurangkan kepada tiga mata,"
katanya.
Isnin lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super termasuk
Kelantan, Selangor, PKNS dan Kuala Lumpur serta enam dari Liga Perdana iaitu
Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC gagal melengkapkan
dokumen pendaftaran atau menghantar dokumen melebihi tarikh akhir ditetapkan, 3
Februari lalu.
Malah, pasukan berkenaan berpotensi dikenakan hukuman potong
mata seperti yang dilakukan FMLLP ke atas Kelantan, T-Team, ATM dan Perlis
musim lalu.
Sukan NSTP semalam bagaimanapun melaporkan bekas Pengerusi
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah
menyifatkan hukuman potong mata ke atas pasukan terbabit satu tindakan kejam.
Namun, Kevin menjelaskan pihaknya bukan mahu menganiaya
mana-mana pasukan, tetapi lebih kepada membendung masalah sama terus berulang
pada masa depan.
"Kalau kita tidak tegas orang kata FMLLP tidak buat kerja,
tapi bila kita bertindak tegas orang marah pula. Seperti saya katakan tujuan
kita bukan untuk menghukum dan menganiaya pasukan.
"Memang ada pasukan berdepan kesulitan melengkapkan
pendaftaran kerana beberapa masalah yang dihadapi mereka. Kita sebenarnya sedia
membantu jika mereka (pasukan) sentiasa berhubung dengan FMLLP.
"Walaupun kita sedia membantu ada juga pasukan yang
mendiamkan diri sedangkan peringatan sudah diberikan mengenai keperluan dan
tarikh tutup melengkapkan pendaftaran pasukan," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan