Chow Chee Keong
MUNGKIN tidak ramai daripada kalangan peminat
bola sepak generasi muda mengenali Chow Chee Keong, tetapi bagi orang lama,
terutama yang pernah beraksi bersamanya dia ibarat tembok yang sukar ditembusi
dan masih dianggap sebagai penjaga gol terbaik pernah hadir dalam skuad negara.
Justeru, pemergian Chee Keong dianggap sebagai
satu kehilangan besar buat arena bola sepak kebangsaan, kata bekas pemain
sezamannya Dali Omar.
Chee Keong merupakan pemain tempatan pertama
yang berkelana ke England apabila menyertai Bedford Town pada 1967 hingga 1968
seawal usia 19 tahun sebelum mencipta nama di Hong Kong pada 1970, bermula
dengan menyertai kelab HK Rangers. Dia kemudiannya menyertai Jardine dengan
rekod perpindahan termahal di Hong Kong pada waktu itu dengan bayaran HK$2,500
(RM1,200).
Namanya cukup dihormati oleh peminat bola sepak
di Hong Kong berikutan kehebatannya mengawal gawang sehinggakan diberi gelaran
Asian Steel Gate dan Crazy Sword. Mendiang Chee Keong mula beraksi bersama
Malaysia Bawah 20 seawal usia 13 tahun sebelum diserapkan ke dalam skuad senior
dua tahun kemudian, menjadikannya pemain termuda dalam pasukan utama negara
ketika itu.
Setelah beraksi selama 28 tahun dan membantu
Malaysia layak ke sukan Olimpik 1972 di Munich dan 1980 di Moscow yang diboikot
kemudiannya, Chee Keong membuat keputusan untuk menggantung but pada 1991 dan
beralih kepada golf.
Dali, yang merupakan bekas rakan sepasukan
mendiang dalam pasukan negara pada era 1960-an mengakui berasa terkejut sebaik
sahaja menerima berita kematian Chee Keong dan berkata, mendiang merupakan
penjaga gol terbaik pernah dilahirkan oleh negara.
“Secara peribadi, saya tidak pernah jumpa
penjaga gol seperti mendiang. Saya sendiri pun sukar untuk menewaskannya.
“Mendiang berkelakuan baik, serius menjalani
latihan dan berani menghalang asakan lawan. Kali terakhir saya berjumpa dengan
mendiang pada 1970 ketika kami beraksi bersama kelab masing-masing dalam Liga
Malaysia.
“Kehilangan yang tiada penggantinya.
Kehebatannya seperti penjaga gol Jerman, Oliver Kahn,” katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Chee Keong, 69, Penjaga Gol Terbaik Konfederasi
Bola Sepak Asia (AFC) sebanyak lima kali berturut-turut bermula pada 1966,
meninggal dunia pada pukul 7 pagi semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM). Bekas penjaga gol Selangor itu meninggalkan balu Christina Kwok dan
anak lelaki Adrian yang merupakan penjaga gol skuad hoki ais negara.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang melawat keluarga mendiang di PPUM semalam
berkata, beliau sedih dengan pemergian Chee Keong.
Difahamkan mendiang menghidap kanser pundi
kencing tahap empat pada tahun lalu, dan Januari lalu mendiang melakukan
pembedahan pintasan jantung. Terdapat komplikasi daripada penyakit yang
berasingan itu

Tiada ulasan:
Catat Ulasan