SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sahkan
KUALA LUMPUR: Kesemua pasukan Liga Super 2018 secara rasmi sudah
memohon mendapatkan lesen Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memenuhi
syarat ditetapkan untuk musim depan.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd
Amin, hari ini dengan tarikh akhir permohonan adalah pada 15 Februari lalu.
Hamidin berkata, pasukan berkenaan turut memohon lesen
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga
Juara-Juara AFC 2019, kecuali Pahang.
Pahang dilarang memohon lesen AFC selama dua tahun oleh FAM
selepas enggan mewakili negara ke pertandingan Piala AFC musim ini.
"Sementara itu, 10 daripada 12 pasukan Liga Perdana 2018
sudah memohon untuk mendapatkan Lesen FAM bagi membolehkan mereka beraksi pada
Liga Super 2019, jika layak.
"Dua lagi pasukan, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan
Terengganu FC II (TFC II) tidak memohon kerana mereka adalah 'feeder club'
kepada dua pasukan Liga Super iaitu JDT dan TFC.
"Bagaimanapun, kesemua pasukan ini perlu melepasi penilaian
yang dibuat ke atas enam kriteria utama membabitkan kesukanan, infrastruktur,
pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan.
"Ia seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab
FAM Edisi 2018 bagi membolehkan mereka diberi lesen FAM dan lesen AFC,"
kata Hamidin dalam satu kenyataan.
Pahang dipilih mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFC musim
ini bagi menggantikan Kedah yang gagal mendapatkan lesen AFC, namun tawaran itu
ditolak skuad Tok Gajah dengan mahu memberi fokus terhadap pertandingan
domestik.
Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar
arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftar pasukan ke
pertandingan Piala AFC musim ini, sekali gus dilarang memohon lesen AFC untuk
dua tahun, bermula musim ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan