PRESIDEN PJBM, B Sathianathan anggap pemain import berusia beri impak
positif. - FOTO/FAIL
KUALA LUMPUR: Pengambilan pemain import yang sudah berusia bukan
menjadi masalah dalam Liga Malaysia (Liga M), namun semua pasukan perlu
melakukan penilaian terbaik sebelum mengikat pemain yang dilabel sebagai 'kuda
tua' ini.
Perkara itu suarakan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak
Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang menganggap pembabitan pemain import yang
sudah berusia dalam Liga M juga memberi impak positif terutama boleh dijadikan
contoh kepada pemain muda.
Justeru, beliau berkata, pemain muda seharusnya belajar
bagaimana pemain berkenaan mampu mengekalkan tahap kecergasan dan permainan
pada tahap terbaik hingga menarik minat pasukan mendapatkan khidmat mereka
walaupun sudah berusia lebih 30 tahun.
"Kalau macam Luciano Figueroa (36 tahun), dia lebih handal
dan cergas daripada pemain kita. Bukan pemain import saja, malah anak tempatan
kita seperti Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin juga berjaya mengekalkan permainan
mereka hingga sekarang.
"Ambil iktibar bagaimana mereka main sampai umur 36, 37 dan
38 tahun. Ada saja pemain muda yang tak sampai empat atau lima tahun bermain
sudah berhenti.
"Tak kisah usia tua, yang penting ada standard dan saya
lihat senarai penjaring sekarang ini pun diisi ramai pemain import sudah
berusia.
"Kalau ambil kuda tua, tapi dia tidak bagus, itu salah
pengurusan. Tapi kalau ambil import yang bagus, walaupun tua, dia mampu beri
impak positif, contoh terbaik Figueroa," katanya, hari ini.
Sukan NSTP sebelum ini melaporkan mengenai persoalan sama ada
Liga M boleh dianggap sebagai 'liga persaraan' selepas 48.6 peratus pemain
import yang berdaftar bersama pasukan Liga M musim ini berusia 30 tahun ke
atas.
Semalam, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan pengambilan
pemain import berusia adalah perjudian besar buat pasukan kerana mereka lebih
terdedah kepada risiko mengalami kecederaan.
Namun, Sathianathan menjelaskan perkara itu sebenarnya terpulang
kepada diri pemain itu sendiri kerana kecederaan adalah perkara biasa dalam
bola sepak tanpa mengira pemain tua atau muda.
"Jangan kata semua pemain tua mudah cedera, ada yang boleh
pulih lebih cepat daripada pemain muda. Kita perlu lihat dari sudut profesional
mereka yang berdisiplin dalam menjaga makan dan tidur.
"Saya ambil contoh Shukor, dia pemain yang jarang cedera
sebab tahu bagaimana nak jaga diri. Tapi, jangan ambil kuda tua yang tak
berlatih.
"Kalau ambil kuda tua yang tak cergas dan hanya nak buat
syarat, memang cepat cedera. Kalau orang yang tak berada sendiri di padang,
mereka tak tahu perkara ini," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan