DATUK Ong Kim Swee dan
Brad Maloney akan berlepas ke Madrid, Sepanyol, awal pagi esok. - FOTO/FAIL
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah (B-23) tahun negara,
Datuk Ong Kim Swee dan penolongnya, Brad Maloney akan berlepas ke Madrid,
Sepanyol, awal pagi esok.
Kedua-dua individu yang membawa skuad B-23 mencipta sejarah mara
ke suku akhir Kejohanan AFC di China, bulan lalu bakal 'berguru' bersama kelab
Atletico Madrid dan juga pasukan kebangsaan Sepanyol selama sebulan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk
Hamidin Mohd Amin menjelaskan pemergian kedua-dua jurulatih itu ke Sepanyol
adalah hasil usaha dan inisiatif daripada Presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Katanya, sasaran utama menghantar mereka adalah bagi
meningkatkan kualiti kejurulatihan Kim Swee dan Maloney, sekali gus mampu
memberi impak positif buat skuad muda negara menjelang Sukan Asia 2018 di
Indonesia, Ogos depan.
"Diharap Kim Swee dan Maloney dapat menggunakan sepenuhnya
peluang ini dengan meraih sebanyak mana ilmu baharu sepanjang tempoh sebulan di
sana nanti.
"Ia bagi membalas kepercayaan diberikan Tunku Ismail yang
mahu memastikan tahap bola sepak Malaysia terutama skuad muda negara terus
mencapai peningkatan positif dari semasa ke semasa," katanya dalam
kenyataan, hari ini.
Kim Swee sebelum ini menegaskan enggan mensia-siakan peluang
keemasan untuk berguru di bumi Sepanyol sambil menganggap bukan mudah untuk
mendapat peluang seperti itu jika bukan kerana kerjasama baik antara Tunku
Ismail dengan kelab La Liga.
"Ia juga membuktikan Tunku Ismail bukan saja amat prihatin
terhadap pemain, malah juga barisan kejurulatihan, terutama jurulatih
tempatan," kata Kim Swee.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan