KETUA jurulatih skuad
bawah (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee dan penolongnya, Brad Maloney
akan berlepas ke Madrid, Sepanyol, awal pagi esok.
Kedua-dua individu
yang membawa skuad B-23 mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC di
China, bulan lalu bakal ‘berguru’ bersama kelab Atletico Madrid dan juga
pasukan kebangsaan Sepanyol selama sebulan.
Setiausaha Agung
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan
pemergian kedua-dua jurulatih itu ke Sepanyol adalah hasil usaha dan inisiatif
daripada Presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Katanya, sasaran utama
menghantar mereka adalah bagi meningkatkan kualiti kejurulatihan Kim Swee dan
Maloney, sekali gus mampu memberi impak positif buat skuad muda negara
menjelang Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos depan.
“Diharap Kim Swee dan
Maloney dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini dengan meraih sebanyak mana
ilmu baharu sepanjang tempoh sebulan di sana nanti.
“Ia bagi membalas
kepercayaan diberikan Tunku Ismail yang mahu memastikan tahap bola sepak
Malaysia terutama skuad muda negara terus mencapai peningkatan positif dari
semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kim Swee sebelum ini
menegaskan enggan mensia-siakan peluang keemasan untuk berguru di bumi Sepanyol
sambil menganggap bukan mudah untuk mendapat peluang seperti itu jika bukan
kerana kerjasama baik antara Tunku Ismail dengan kelab La Liga.
“Ia juga membuktikan
Tunku Ismail bukan saja amat prihatin terhadap pemain, malah juga barisan
kejurulatihan, terutama jurulatih tempatan,” kata Kim Swee.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan