PENGAMBILAN pemain import yang sudah berusia bukan menjadi
masalah dalam Liga Malaysia (Liga M), namun semua pasukan perlu melakukan
penilaian terbaik sebelum mengikat pemain yang dilabel sebagai ‘kuda tua’ ini.
Perkara itu suarakan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak
Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang menganggap pembabitan pemain import yang
sudah berusia dalam Liga M juga memberi impak positif terutama boleh dijadikan
contoh kepada pemain muda.
Justeru, beliau berkata, pemain muda seharusnya belajar
bagaimana pemain berkenaan mampu mengekalkan tahap kecergasan dan permainan
pada tahap terbaik hingga menarik minat pasukan mendapatkan khidmat mereka
walaupun sudah berusia lebih 30 tahun.
“Kalau macam Luciano Figueroa (36 tahun), dia lebih handal dan cergas
daripada pemain kita. Bukan pemain import saja, malah anak tempatan kita
seperti Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin juga berjaya mengekalkan
permainan mereka hingga sekarang.
“Ambil iktibar bagaimana mereka main sampai umur 36, 37 dan 38
tahun. Ada saja pemain muda yang tak sampai empat atau lima tahun bermain sudah
berhenti.
“Tak kisah usia tua, yang penting ada standard dan saya lihat
senarai penjaring sekarang ini pun diisi ramai pemain import sudah berusia.
“Kalau ambil kuda tua, tapi dia tidak bagus, itu salah
pengurusan. Tapi kalau ambil import yang bagus, walaupun tua, dia mampu beri
impak positif, contoh terbaik Figueroa,” katanya, hari ini.
Sukan NSTP sebelum ini melaporkan mengenai persoalan sama ada
Liga M boleh dianggap sebagai ‘liga persaraan’ selepas 48.6 peratus pemain
import yang berdaftar bersama pasukan Liga M musim ini berusia 30 tahun ke
atas.
Semalam, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan pengambilan
pemain import berusia adalah perjudian besar buat pasukan kerana mereka lebih
terdedah kepada risiko mengalami kecederaan.
Namun, Sathianathan menjelaskan perkara itu sebenarnya terpulang
kepada diri pemain itu sendiri kerana kecederaan adalah perkara biasa dalam
bola sepak tanpa mengira pemain tua atau muda.
“Jangan kata semua pemain tua mudah cedera, ada yang boleh pulih
lebih cepat daripada pemain muda. Kita perlu lihat dari sudut profesional
mereka yang berdisiplin dalam menjaga makan dan tidur.
“Saya ambil contoh Shukor, dia pemain yang jarang cedera sebab
tahu bagaimana nak jaga diri. Tapi, jangan ambil kuda tua yang tak berlatih.
“Kalau ambil kuda tua yang tak cergas dan hanya nak buat syarat,
memang cepat cedera. Kalau orang yang tak berada sendiri di padang, mereka tak
tahu perkara ini,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan