KESEMUA pasukan Liga Super 2018 secara rasmi sudah memohon
mendapatkan lesen Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memenuhi syarat
ditetapkan untuk musim depan.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd
Amin, hari ini dengan tarikh akhir permohonan adalah pada 15 Februari lalu.
Hamidin berkata, pasukan berkenaan turut memohon lesen
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga
Juara-Juara AFC 2019, kecuali Pahang.
Pahang dilarang memohon lesen AFC selama dua tahun oleh FAM
selepas enggan mewakili negara ke pertandingan Piala AFC musim ini.
“Sementara itu, 10 daripada 12 pasukan Liga Perdana 2018 sudah
memohon untuk mendapatkan Lesen FAM bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga
Super 2019, jika layak.
“Dua lagi pasukan, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Terengganu
FC II (TFC II) tidak memohon kerana mereka adalah 'feeder club' kepada dua
pasukan Liga Super iaitu JDT dan TFC.
“Bagaimanapun, kesemua pasukan ini perlu melepasi penilaian yang
dibuat ke atas enam kriteria utama membabitkan kesukanan, infrastruktur,
pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan.
“Ia seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM
Edisi 2018 bagi membolehkan mereka diberi lesen FAM dan lesen AFC,” kata Hamidin
dalam satu kenyataan.
Pahang dipilih mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFC musim
ini bagi menggantikan Kedah yang gagal mendapatkan lesen AFC, namun tawaran itu
ditolak skuad Tok Gajah dengan mahu memberi fokus terhadap pertandingan
domestik.
Pahang
didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu
selepas enggan atau gagal mendaftar pasukan ke pertandingan Piala AFC
musim ini, sekali gus dilarang memohon lesen AFC untuk dua tahun, bermula musim
ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan