PRESIDEN FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
tidak bersetuju andai FMLLP ingin mengambil tindakan memotong mata kepada
pasukan yang tidak melengkapkan dokumen pendaftaran untuk bertanding dalam
Liga-M musim ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KUALA LUMPUR: Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bersetuju
andai Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) ingin mengambil
tindakan memotong mata kepada pasukan yang tidak melengkapkan dokumen
pendaftaran untuk bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Tunku Ismail yang juga
pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, tindakan tegas FMLLP itu hanya
akan mengundang spekulasi buruk beliau atau JDT mahu mengkhianati pasukan lain.
"Saya sudah
dimaklumkan FMLLP akan memotong mata dan memberikan hukuman kepada persatuan
yang tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan yang bertanding dalam Liga
Malaysia.
"Saya memahami
tindakan FMLLP ini untuk memastikan liga ini berjalan secara profesional dan
mahu menunjukkan kepada penaja yang terdapat permintaan tinggi untuk menjadikan
liga ini profesional.
"Bagaimanapun saya
tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana ia akan mewujudkan spekulasi
daripada mereka yang kurang bijak dan mengatakan saya atau Kelab JDT ingin mensabotaj
pasukan lain yang sedang berada di puncak liga kononnya," katanya dalam
satu kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.
FMLLP hari ini mendedahkan,
empat pasukan Liga Super, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC gagal
melengkapkan dokumen pendaftaran mengikut tarikh yang ditetapkan.
Sementara empat pasukan
Liga Perdana masih tidak melengkapkan dokumen pendaftaran iaitu Sarawak, Pulau
Pinang, Kuantan FA dan PDRM manakala MIFA serta UKM FC melepasi tarikh akhir 3
Februari lalu.
Tunku Ismail berkata,
masalah yang berlaku itu mencerminkan sebab sebenar kenapa bola sepak tanah air
tidak boleh berkembang maju.
"FMLLP tidak perlu
mengambil tindakan atau memotong mata pasukan terbabit dan sebaliknya biarkan
saja mereka terus bertanding dalam Liga Malaysia ini.
"Biarkan penaja kita
yang sudah mengeluarkan beratus-ratus juta ringgit melihat sendiri kenapa liga
kita tidak boleh berkembang. Bukan saja mengenai persatuan yang tidak
profesional tapi juga mentaliti penyokong bola sepak tanah air.
"Walaupun informasi,
'timeline', penerangan berkait cara keputusan dibuat dan dokumen diperlukan
sudah dikongsikan pihak FMLLP tapi penyokong bola sepak tanah air masih tidak
faham lagi, saya hanya boleh ucapkan selamat maju jaya.
"Akhir sekali, saya
sebagai Presiden FAM dan pemilik JDT ingin meminta maaf kepada penaja yang
sudah mengeluarkan beratus juta ringgit untuk melihat liga ini profesional.
Kerana inilah jawapan mengapa bola sepak Malaysia tidak boleh berkembang ke
arah profesional, di mana ia disebabkan oleh mentaliti dan sikap yang
kuno," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan