KEVIN sokong penuh
kepemimpinan Tunku Ismail.
KUALA LUMPUR: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia
(FMLLP) menafikan wujud perbalahan antara badan itu dengan pengerusinya, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
susulan perbezaan pendirian berhubung isu dokumentasi dan pendaftaran pasukan
dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menegaskan
sekretariat FMLLP menyokong penuh kepemimpinan Tunku Ismail dan menyifatkan
kenyataan yang dikeluarkan beliau lebih bersifat untuk menyatakan kekecewaan
yang wujud hasil persepsi sesetengah pihak yang sentiasa menuding jari
kepadanya setiap kali wujud situasi di mana sesuatu hukuman bakal dilakukan.
"Kekecewaan ini adalah yang sebenar kerana Tunku Ismail
bekerja keras untuk memastikan liga dan setiap pasukan terjamin untuk jangka
masa panjang. Pelaburan yang berjaya diperolehi menjadi sesuatu menguntungkan
untuk kesemua pasukan dan secara realiti harapan semua pihak yang melabur di
dalam Liga Malaysia mahu melihat kemajuan dari segi profesionalisme.
"Saya pasti Tunku Ismail tidak berniat untuk menidakkan
peraturan dan mahu peraturan ditegaskan tetapi beliau berlaku sarkastik dalam
membuat kenyataan kerana hampa dengan pandangan sesetengah pihak yang berminda
kecil ini," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Pada masa sama, Kevin turut mempersoalkan tindakan segelintir
pihak yang disifatkan cuba menghalang kemajuan bola sepak di negara ini dengan
melontarkan beberapa kenyataan yang dilihat tidak bernas.
"Bola sepak Malaysia sudah berada di landasan yang betul
apabila pelaburan sudah mula masuk dengan nilai yang lumayan.
"Tetapi adakah pihak-pihak ini tahu yang mereka ini sedang
menghalang kemajuan dengan mengeluarkan kenyataan bijak pandai mereka yang
serba tahu bukan sahaja mengenai pengurusan Persatuan Bola Sepak (FA) dan liga
malah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa (FIFA) juga," katanya.
Terdahulu, Tunku Ismail tidak bersetuju andai badan pentadbir
liga itu ingin mengambil tindakan memotong mata kepada pasukan yang tidak
melengkapkan dokumen pendaftaran untuk bertanding dalam Liga-M musim ini.
Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT)
berkata, tindakan tegas FMLLP itu hanya akan mengundang spekulasi buruk beliau
atau JDT mahu mengkhianati pasukan lain.
"Bagaimanapun saya tidak bersetuju dengan tindakan itu
kerana ia akan mewujudkan spekulasi daripada mereka yang kurang bijak dan
mengatakan saya atau Kelab JDT ingin mensabotaj pasukan lain yang sedang berada
di puncak liga kononnya," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman
Facebook Johor Southern Tigers, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan