ANTARA elemen lain yang turut diatur bookie
sebagai pertaruhan termasuk minit ke berapa jaringan akan dihasilkan, jumlah
gol babak pertama dan kedua serta siapa penjaring gol. - Foto Nadim Bokhari
KUALA LUMPUR: Bukan sahaja mengatur keputusan penuh perlawanan,
malah pelbagai elemen lain turut menjadi 'bahan' pertaruhan dalam perjudian
bola sepak.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara
Malaysia (UUM), Za'im Ahmad menjelaskan antara elemen lain yang turut diatur
bookie sebagai pertaruhan termasuk minit ke berapa jaringan akan dihasilkan,
jumlah gol babak pertama dan kedua serta siapa penjaring gol.
Za'im bagaimanapun berkata, elemen yang digunakan itu bergantung
kepada jenis perlawanan itu sama ada aksi liga biasa dan perlawanan penting termasuk
separuh akhir atau final.
"Memang bukan saja jumlah jaringan yang biasa menjadi
pertaruhan, ia merangkumi pelbagai elemen dengan bookie yang akan menentukan
jenis pertaruhan itu.
"Jadi mereka (bookie) akan mendekati pasukan yang menjadi
sasaran mereka dengan menawarkan ganjaran yang sukar untuk ditolak oleh pemain
atau individu dalam pasukan itu.
"Mereka juga akan bekerjasama dengan 'orang dalam' untuk
memudahkan urusan termasuk pemain, pegawai pasukan atau individu yang terbabit
dengan pengurusan pasukan," kata Za'im yang pernah berkhidmat selama 10
tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Isu rasuah dalam bola sepak Malaysia kembali hangat diperkatakan
apabila dua pemain Liga Perdana Sarawak kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengatur perlawanan ketika berdepan
FELCRA FC pada 10 Februari lalu.
Selain itu, Za'im berkata, bookie biasanya akan mengkaji
mana-mana pasukan yang akan menjadi sasaran mereka sebelum membuka langkah
mendekati pasukan itu.
Katanya, antara pasukan yang sering menjadi sasaran adalah yang
berdepan masalah kewangan dan pasukan yang sudah tidak mampu bersaing merebut
kedudukan teratas.
"Bagaimanapun, semua pasukan sebenarnya terdedah kepada
sasaran bookie tanpa melihat pemain memiliki nama besar atau tidak dan pasukan
terbaik atau tidak.
"Pelbagai modus operandi yang digunakan bookie dan ia
bergantung kepada siapa yang mengendalikan pertaruhan itu atau sejauh mana
besarnya operasi pertaruhan mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan