WINDSOR tiada masalah
dengan tindakan FMLLP.
KUALA LUMPUR: Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan pihaknya tidak berdepan masalah terhadap
tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk
mengenakan sebarang hukuman termasuk pemotongan mata ke atas pasukan yang gagal
melengkapkan pendaftaran pasukan.
Setiausaha Agungnya, Datuk
Windsor Paul John berkata, secara dasarnya, badan induk bola sepak Asia itu
tidak menganggap tindakan itu sebagai satu isu memandangkan hukuman yang hendak
dilaksanakan itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang sudah
ditetapkan dalam peraturan liga domestik.
"Mengenai hukuman itu
(pemotongan mata), itu adalah peraturan liga domestik. Kalau ia sudah menjadi
peraturan, maka tiada pilihan lain selain melaksanakan undang-undang yang sudah
ditetapkan.
"Ini peraturan
domestik untuk masalah domestik. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun
FMLLP selaku badan pentadbir liga boleh mengambil apa saja langkah yang dilihat
boleh membantu mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, empat pasukan
Liga Super iaitu Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC mungkin berdepan
hukuman tegas FMLLP apabila gagal melengkapkan dokumen pendaftaran mengikut
tarikh yang ditetapkan.
Berdasarkan kenyataan media
yang dikeluarkan oleh badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu, Kelantan dan
Kuala Lumpur tidak menghantar atau menghantar dokumen yang tidak betul manakala
Selangor dan PKNS FC pula lewat melengkapkan proses pendaftaran pada 3 Februari
lalu.
Berdasarkan hukuman yang
pernah dikenakan badan pengendali liga itu kepada beberapa pasukan tahun lalu,
kemungkinan hukuman pemotongan mata sekali lagi akan dikenakan kepada empat
pasukan Liga Super itu.
Pada musim 2017, empat
pasukan ditolak enam mata berkuat kuasa serta-merta selepas gagal melengkapkan
pendaftaran pasukan untuk menyertai Liga-M musim lalu.
Empat pasukan itu adalah
Kelantan, T-Team, Perlis dan ATM yang berdepan masalah kewangan dan tunggakan
gaji hingga gagal memuat naik surat selesai bayaran bagi tunggakan gaji,
tunggakan KWSP, tunggakan PERKESO dan tunggakan LHDN bagi melengkapkan
pendaftaran pasukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan