JURULATIH skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee
percaya anak buahnya pasti akan lebih bersemangat jika usaha Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) membida hak selaku tuan rumah pusingan akhir Kejohanan AFC
B-23 2020 berjaya.
Menurutnya, aksi di laman sendiri tidak akan memberi banyak
kelebihan kepada pemain namun sokongan padu penyokong bakal menjadi elemen
penting buat pemain dalam memburu kelompok empat terbaik untuk layak ke Sukan
Olimpik Tokyo 2020.
“Bagi saya ini adalah satu usaha yang baik oleh FAM di mana mahu
membida untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir kejohanan itu. Jika berjaya,
selaku tuan rumah kita tak boleh terlalu selesa kerana ia bukan jaminan untuk
kita mendapat kejayaan tapi sekurang-kurangnya dengan sokongan padu penyokong,
ia akan memberi impak berlainan kepada pemain kita.
“Jelas langkah ini yang turut dipersetujui oleh Presiden FAM
Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuktikan FAM sudah membuat persiapan rapi untuk
menghadapi kejohanan itu. Meskipun kita masih ada tempoh dua tahun, kita mesti
membuat perancangan awal dan langkah pertama adalah dengan membida hak selaku
tuan rumah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Perancangan untuk membida hak tuan rumah pusingan akhir
Kejohanan AFC B-23 2020 diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd
Amin kelmarin sebagai usaha untuk membantu skuad muda negara merebut tiket ke
Sukan Olimpik selepas kali terakhir di Moscow 1980.
Selain itu, Hamidin turut mengesahkan bahawa mereka bersetuju
untuk menghantar skuad terbaik B-23 ke Sukan Asia Indonesia Ogos ini meskipun
ada cadangan awal oleh Kim Swee untuk menyenaraikan ramai pemain B-21 sebagai
persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 tahun depan.
Bagi Kim Swee yang membimbing pasukan melakar sejarah mara ke
suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China bulan lalu tiada masalah dengan
persetujuan yang dicapai itu.
“Kita akan menghantar skuad B-23 ke Sukan Asia, cuma bila
masanya nanti, saya akan lihat bagaimana pemilihan pemain itu kerana Liga
Malaysia sedang berjalan,” kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan