KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23),
Datuk Ong Kim Swee percaya anak buahnya pasti akan lebih bersemangat jika usaha
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membida hak selaku tuan rumah pusingan
akhir Kejohanan AFC B-23 2020 berjaya.
Menurutnya, aksi di laman sendiri tidak akan memberi banyak
kelebihan kepada pemain namun sokongan padu penyokong bakal menjadi elemen
penting buat pemain dalam memburu kelompok empat terbaik untuk layak ke Sukan
Olimpik Tokyo 2020.
"Bagi saya ini adalah satu usaha yang baik oleh FAM di mana
mahu membida untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir kejohanan itu. Jika
berjaya, selaku tuan rumah kita tak boleh terlalu selesa kerana ia bukan
jaminan untuk kita mendapat kejayaan tapi sekurang-kurangnya dengan sokongan
padu penyokong, ia akan memberi impak berlainan kepada pemain kita.
"Jelas langkah ini yang turut dipersetujui oleh Presiden
FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuktikan FAM sudah membuat persiapan rapi
untuk menghadapi kejohanan itu. Meskipun kita masih ada tempoh dua tahun, kita
mesti membuat perancangan awal dan langkah pertama adalah dengan membida hak
selaku tuan rumah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Perancangan untuk membida hak tuan rumah pusingan akhir
Kejohanan AFC B-23 2020 diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd
Amin kelmarin sebagai usaha untuk membantu skuad muda negara merebut tiket ke
Sukan Olimpik selepas kali terakhir di Moscow 1980.
Selain itu, Hamidin turut mengesahkan bahawa mereka bersetuju
untuk menghantar skuad terbaik B-23 ke Sukan Asia Indonesia Ogos ini meskipun
ada cadangan awal oleh Kim Swee untuk menyenaraikan ramai pemain B-21 sebagai
persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 tahun depan.
Bagi Kim Swee yang membimbing pasukan melakar sejarah mara ke
suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China bulan lalu tiada masalah dengan
persetujuan yang dicapai itu.
"Kita akan menghantar skuad B-23 ke Sukan Asia, cuma bila
masanya nanti, saya akan lihat bagaimana pemilihan pemain itu kerana Liga
Malaysia sedang berjalan," kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan