PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sudah bersedia dengan
perancangan rapi dalam misi merealisasikan impian beraksi pada Sukan Olimpik
Tokyo 2020 apabila mahu membida hak selaku tuan rumah pusingan akhir
Kejohanan Bawah 23 Tahun (B-23) AFC.
Pusingan akhir kejohanan itu yang dijangka berlangsung pada
awal 2020 amat penting buat skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee kerana ia
menawarkan empat slot ke Tokyo.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, cadangan
untuk membida sebagai tuan rumah kejohanan itu sudah mendapat perkenan
presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu pertemuan baru-baru ini.
“Presiden Tunku Ismail juga berkenan membida dengan AFC
(Konfederasi Bolasepak Asia) untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir pada 2020
dan kalau kita berjaya, kita akan memberi tumpuan kepada pasukan ini bagi
pusingan kelayakan B-23 AFC 2019 dan pusingan akhir itu nanti,” katanya ketika
ditemui selepas majlis undian Piala FA, kelmarin.
Selepas melakar sejarah layak ke suku akhir
Kejohanan AFC B-23 di China bulan lalu, Kim Swee kini mengintai peluang untuk
mengemudi pasukan mara ke temasya Olimpik Tokyo 2020 selepas kali terakhir
layak di Sukan Olimpik Moscow 1980.
Pada kejohanan di China bulan lalu, skuad muda
negara melakukan kejutan muncul naib juara Kumpulan C selepas tewas 1-4 kepada
Iraq selain seri 1-1 dengan Jordan dan mengatasi Arab Saudi 1-0. Meskipun
memberi tentangan sengit kepada Korea Selatan pada suku akhir, mereka
terpaksa akur dengan kekalahan 1-2.
Pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC 2020 akan
berlangsung tahun depan dan Hamidin menjelaskan persiapan rapi akan
diadakan biarpun anak buah Kim Swee boleh layak ke pusingan akhir atas tiket
tuan rumah andai bidaan itu berjaya.
Jelasnya, biarpun ada cadangan awal Kim Swee untuk hanya membawa
pemain B-21 ke Sukan Asia di Indonesia Ogos ini sebagai persiapan ke
pusingan kelayakan itu, mereka dijangka tetap akan membariskan skuad terbaik
B-23.
“Perbincangan saya dengan Tunku Presiden yang terkini, kami akan hantar
pasukan terbaik bawah 23 tahun, bukan bawah 21 tahun, itu pandangan awal
beliau. Kami akan terus memberi pendedahan kepada pemain pada masa akan datang
kerana sasaran kami layak ke Sukan Olimpik Tokyo.. kami akan buat persiapan
rapi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan