LEGENDA bola sepak negara, Datuk James Wong. -
Foto Edmund Samunting
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengambil
sikap 'tepuk dada tanya selera' dalam menentukan keperluan menggunakan khidmat
pemain naturalisasi untuk skuad kebangsaan.
Legenda bola sepak negara, Datuk James Wong berpendapat walau
apapun pendirian FAM mengenai isu ini, ia bergantung apa yang dimahukan
oleh badan induk itu dalam menentukan hala tuju Harimau Malaya.
"Saya belum bersedia untuk mengulas panjang mengenai isu
ini. Tapi sama ada menggunakan pemain naturalisasi atau sebaliknya, tetap
mempunyai kebaikan serta keburukan.
"Cuma, saya boleh katakan, sebelum sesuatu keputusan
dibuat, FAM perlu bertanya kepada diri sendiri apakah yang mereka mahukan untuk
skuad kebangsaan, adakah mencapai keputusan segera dengan pemain naturalisasi
atau terus bersabar dengan program pembangunan.
"Saya yakin badan induk itu lebih tahu apa yang terbaik
untuk bola sepak negara, jadi biarlah mereka membuat keputusan," kata
bekas pemain yang masih dikenang sebagai wira selepas jaringannya ke atas Korea
Selatan melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.
Isu penggunaan pemain naturalisasi untuk skuad kebangsaan kini
menjadi topik hangat ekoran lambakan pemain berstatus berkenaan dalam Liga
Malaysia.
Setakat ini, 14 pemain kelahiran luar negara diberi kerakyatan
kerana memiliki pertalian darah dengan rakyat negara ini.
Kehadiran pemain seperti Carbin Ong, Naxto Insa, Darren Lok
(Johor Darul Ta'zim), Brendan Gan (Perak), Matthew Davies (Pahang), Curren
Ferns, Stuart Wark (FELDA United), Khair Jones (Melaka United) dan ramai lagi
sudah membawa impak positif kepada pasukan masing-masing.
Ia mencetuskan cadangan agar skuad kebangsaan menggunakan tenaga
mereka kerana dilihat mampu membangkitkan semula prestasi Harimau Malaya
yang semakin merudum.
Namun, pihak yang membantah pula menganggap langkah itu
sebagai tidak patriotik disebabkan pemain naturalisasi bukan 'anak jati'
Malaysia.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Abdah
Alif berkata, kita perlu berpijak di bumi nyata kerana dalam keadaan skuad
negara yang makin lesu, satu langkah berani perlu dilakukan oleh FAM.
"Kalau pemain naturalisasi itu memang ada pertalian darah
dengan negara kita serta layak mewakili skuad kebangsaan, mengapa tidak kita
gunakan khidmat mereka. Apatah lagi jika mereka memang lebih bagus daripada
pemain tempatan.
"Soal sejauh mana 'semangat Malaysia' dalam diri mereka
bila bermain untuk negara, ia bergantung pada pemain itu sendiri. Matthew
Davies dilahirkan serta dibesarkan di Australia tapi bila mewakili Malaysia dia
bermain sepenuh hati," ujar Abdah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan