PENGENDALI skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe
sedang mempertimbangkan untuk memanggil gandingan Natxo Insa dan La'Vere
Corbin-Ong untuk perlawanan persahabatan dan aksi kelayakan Piala Asia skuad
Harimau Malaya nanti.
KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tetap
akan memberi kepercayaan kepada pemain tempatan berkualiti walaupun buat julung
kalinya pemain-pemain berdarah campuran mampu membentuk sebuah pasukan untuk
mewakili negara.
Dengan 14 pemain naturalisasi sedia untuk dipanggil, Cheng Hoe
tidak akan mengetepikan pemain kelahiran Malaysia menjelang pertemuan dengan
Mongolia dan Lubnan bulan depan.
Daripada 14 pemain berdarah campuran yang diberikan kerakyatan
Malaysia, hanya Matthew Davies, Brendan Gan, Khair Jones, Kiko Insa dan
Darren Lok pernah menyarung jersi kebangsaan Harimau Malaya.
Tetapi menurut Cheng Hoe, ia sesuatu yang tidak realistik untuk
memanggil kesemua 14 pemain itu ketika ramai pemain tempatan mempunyai tahap
keupayaan yang sama.
"Ia satu idea yang baik untuk membawa masuk pemain
naturalisasi ke dalam pasukan tetapi jika pemain tempatan sama bagus, saya
tidak boleh mengetepikan mereka. Penyelesaian terbaik ialah skuad campuran
pemain tempatan dan naturalisasi," kata penolong jurulatih yang
dilantik mengisi kerusi panas itu pada Disember selepas Nelo Vingada meletak
jawatan.
Cheng Hoe sedang mempertimbangkan untuk memanggil gandingan
Johor Darul Ta'zim (JDT) Natxo Insa dan bek kiri, La'Vere Corbin-Ong,
untuk perlawanan persahabatan menentang Mongolia pada 22 Mac dan aksi kelayakan
Piala Asia di Lubnan lima hari kemudian.
Namun Cheng Hoe berkata pemilihan sebenar bergantung kepada aksi
pemain ketika mewakili kelab masing-masing.
"Masih ada beberapa minggu sebelum panggilan pertama dan
pemain-pemain yang mempamerkan prestasi terbaik dalam liga akan diberi
keutamaan untuk mewakili negara," kata Cheng Hoe yang juga berminat
memanggil pemain muda dari skuad Kejuaraan AFC bawah 23 di China bulan lalu.
"Pemain naturalisasi mungkin tidak mempunyai banyak
pengalaman di peringkat antarabangsa tetapi mereka mempunyai pengalaman
berharga beraksi di Eropah dan negara asal mereka. Ia akan memberi kelebihan
buat kita jika mereka dipanggil."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan