IZHAM (kiri) bersalaman dengan Ketua Pengarah MSN, Datuk
Ahmad Shapawi Ismail sambil diperhatikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin Abu Bakar (tengah) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan di
Putrajaya, Januari lalu.
SYARIKAT pembangunan hartanah, BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land)
mengambil inisiatif melahirkan bakat-bakat pelapis bola sepak Malaysia menerusi
perjanjian penajaan selama setahun bagi menjayakan Program Pembangunan Bola
Sepak Negara (NFDP) khususnya di Kedah.
Penajaan tersebut menyaksikan BDB Land, yang merupakan anak
syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB) diiktiraf sebagai Rakan Zon Rasmi NFDP di
Kedah selama setahun mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2018.
BDB bukan nama asing kerana syarikat tersebut amat dikenali
dengan pembangunan hartanah di kawasan utara Semenanjung selain penglibatan
aktif mereka dalam sukan di Kedah dengan menaja pasukan Liga Super, Kedah
tahun lalu serta menganjurkan beberapa aktiviti sukan lain seperti ragbi,
futsal dan kriket.
Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff
memberitahu, NFDP mengambil inisiatif melakukan usaha di peringkat akar umbi
bagi melatih pemain seawal usia tujuh hingga 17 tahun yang mempunyai minat
dalam bola sepak dan secara tidak langsung bergerak seiring dengan aspirasi
kerajaan.
“Kami menyediakan sembilan pusat latihan dengan
sekolah-sekolah terpilih di sekitar negeri Kedah sebagai tempat atau platform
untuk mereka mengasah bakat.
“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, Alor Setar telah
dipilih sebagai pusat latihan yang telah dipersetujui melalui perbincangan
dengan kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan.
“Setiap pusat latihan dapat menampung seramai 100 orang
pemain untuk berlatih dan mengasah bakat mereka oleh tenaga profesional yang
telah disediakan,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Izham menambah, BDB menyedari kepentingan program
pembangunan sukan yang dilaksanakan kerajaan dan pihaknya bersedia membantu
NFDP menerusi beberapa program tambahan seperti klinik bola sepak yang sedang
direncanakan.
“Pembangunan bola sepak di sebelah utara tanah air masih
kurang sedangkan bakat-bakat muda sememangnya ada tetapi usaha untuk mencungkil
potensi itu belum diperhebatkan.
“Tanpa kita sedari, mereka memerlukan sokongan padu daripada
kerajaan atau pihak swasta bagi menonjolkan bakat diri mereka agar dapat
diketengahkan dalam melahirkan lebih ramai atlet untuk sukan tanah air.
“Tidak mustahil anak-anak negeri Kedah dapat mencipta
kejutan untuk beraksi dalam skuad kebangsaan dan juga kelab-kelab ternama di
Eropah sekiranya kita memulakan usaha bersungguh-sungguh bermula daripada
sekarang,” ujarnya.
NFDP kini memiliki hampir 23,000 pelatih di 123 buah akademi
latihan di seluruh negara dan dijangka mampu mencapai sejumlah 50,000 pelatih menjelang
tahun 2020.
Berdasarkan angka tersebut, Izham menjelaskan, kita
sepatutnya tidak risau mengenai ketandusan pelapis baharu memandangkan usaha
giat dilakukan bagi melahirkan pemain yang bakal menyinar dalam sukan bola
sepak negara dan dunia suatu hari nanti.
Pada masa sama, Izham mengakui latihan pada peringkat akar
umbi juga lebih berkesan untuk menerapkan nilai integriti dalam diri pemain
generasi baharu agar mereka beraksi dengan lebih telus dan jujur.
“Anak-anak muda seawal usia tujuh tahun lebih mudah untuk
dibentuk supaya bermain dengan penuh semangat kesukanan dalam diri mereka.
“Integriti sangat penting kepada setiap pemain bagi
mengelakkan perkara tidak sepatutnya berlaku seperti rasuah dan pengambilan
bahan-bahan terlarang,” ujarnya.
Idham yang juga anak kelahiran Kedah memberitahu, usaha BDB
tersebut juga sebagai langkah mengurangkan kebergantungan pasukan terhadap
pemain-pemain import selain dapat menjimatkan perbelanjaan sesebuah pasukan.
“Kini, setiap pasukan berlumba-lumba untuk berbelanja besar
setiap tahun bagi mendapatkan beberapa pemain import untuk memantapkan skuad
masing-masing agar berdaya saing pada Liga Malaysia (Liga M).
“Pada hemat saya, perbelanjaan besar seumpama itu boleh
dijimatkan untuk pembangunan bola sepak pada peringkat akar umbi kerana secara
tidak langsung kita dapat melahirkan lebih ramai pemain lebih cemerlang jika
usaha itu bermula daripada sekarang.
“Kita harus sedar, pemain-pemain yang hebat di dunia tidak
akan lahir tanpa sistem pembangunan sistematik,” ujarnya.
Selain itu, Izham memberitahu, penajaan yang dilakukan oleh
BDB diharap akan menjadi platform atau perintis yang akan diteladani
syarikat-syarikat korporat lain untuk turut sama mengambil bahagian dalam
pelaburan serta membantu pembangunan yang bersifat jangka panjang ini.
“Penajaan yang dilakukan ini lebih bermakna dan meninggal
kesan lebih mendalam kepada masyarakat berbanding bantuan yang bersifat one
off.
“Buat masa sekarang, kita hanya menjalankan kerjasama selama
setahun dan masih memikirkan perancangan untuk masa depan pembangunan bola
sepak tanah air.
“Kami bersedia membuka peluang kepada syarikat-syarikat lain
untuk menjalankan usaha seperti yang dilaksanakan oleh BDB sebelum ini yang
menaja Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dengan tahun ini diambil alih oleh
syarikat ECK Development Sdn. Bhd.,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan