Pemain bertaraf
bintang turut jadi sasaran, habuan sehingga RM100,000 atur final Piala Malaysia
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Pemain bertaraf bintang
dalam skuad kebangsaan serta pasukan gergasi Liga Malaysia antara yang pernah
didatangi oleh bookie dan ditawarkan wang RM100,000 untuk mengatur perlawanan
akhir Piala Malaysia, dedah seorang pemain tersebut.
Pemain itu, yang enggan namanya didedahkan
bagaimanapun berkata, dia menolak mentah-mentah tawaran tersebut kerana tidak
mahu melakukan jenayah yang mampu merosakkan kariernya.
“Ya...Saya pernah didatangi bookie dan mereka
menawarkan RM100,000 ketika kami mahu beraksi dalam perlawanan akhir (Piala
Malaysia).
“Mungkin ada jumlah yang lebih besar ditawarkan
kepada pemain lain, saya tidak tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Apa yang pasti, bookie tidak hanya menyasarkan
pemain bergaji kecil, sebaliknya turut ‘memancing’ pemain yang meraih
pendapatan lumayan.
Sementara itu, bekas penyerang negara era 1980
hingga 1990-an yang pernah disabit kesalahan mengatur perlawanan berkongsi
taktik yang digunakan bookie untuk mendekati pemain dikehendaki.
Kata pemain itu, pada zamannya ramai yang
menerima rasuah disebabkan persatuan gagal membayar gaji dan tiada siapa
membela nasib mereka kerana pemain tidak mempunyai persatuan seperti sekarang.
Dia yang pernah digantung perlawanan akibat
kesalahan tersebut percaya, isu ini tidak akan dapat dibanteras sampai
bila-bila kerana sudah menjadi seperti barah yang sukar diubati.
“Ketika zaman saya, bookie akan menyasarkan
perlawanan besar melibatkan pasukan gergasi tanah air. Jumlah wang terbesar
yang ditawarkan ketika itu mencecah RM100,000. Saya percaya, pada era sekarang
tawaran mampu mencecah jutaan ringgit.
“Mereka (bookie) mempunyai banyak cara untuk
mendekati pemain, ada yang hanya membuat panggilan, ada yang berjumpa terus
dengan pemain dan ada juga yang menggunakan rakan pemain itu sebagai orang
tengah untuk membuat urusan.
“Saya percaya isu ini tidak akan berhenti dan
sukar dibendung sampai bila-bila. Apa pun semua bergantung kepada pemain itu
sendiri,” katanya.
Menurutnya, ketika zaman 1980-an dan 90-an gaji
pemain agak kecil berbanding pemain sekarang yang mencecah ratusan ribu
ringgit sebulan.
“Dulu gaji kecil...persatuan untuk bela pemain
pun tidak wujud jika gaji tertunggak.
“Disebabkan desakan hidup dan tidak berfikir
panjang menyebabkan pemain terpaksa mengambil jalan ini (terima tawaran
bookie),” katanya merujuk kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM)
yang baru ditubuhkan pada Julai, 2009.
Bagi seorang jurulatih senior Liga Malaysia,
beliau banyak berdepan pengalaman mengendalikan pemain yang terlibat rasuah.
Begitupun katanya, bukan pemain sahaja yang
sepatutnya disiasat jika sesuatu yang mencurigakan berlaku, sebaliknya
jurulatih dan pengadil juga perlu diberi perhatian.
“Saya percaya isu ini sukar dibendung kerana
golongan bookie ini diberi perlindungan oleh orang yang berkuasa.
“Bookie bukan hanya mendekati pemain tetapi pengadil
dan jurulatih turut didatangi mereka.
“Sepanjang saya menjadi jurulatih belum pernah
ada bookie mendekati saya tetapi 10 pemain saya pernah terlibat.
“Sebaik sahaja saya tahu tentang aktiviti
mereka, saya terus masukkan pemain itu dalam ‘peti ais’ (tidak dibenarkan
beraksi),” jelasnya.
Semalam, dua pemain Sarawak dan seorang bookie
direman enam hari bagi membantu siasatan kerana didakwa mengatur perlawanan.
Menurut sumber, ketiga suspek disyaki terlibat
dalam mengatur perlawanan antara Sarawak menentang Felcra FC pada 10 Februari
lalu.
Dalam aksi Liga Perdana itu, Sarawak sedang
mendahului 2-0 di Stadium Kuching sebelum menjaringkan tiga gol pada minit
terakhir permainan membolehkan Felcra FC menang 3-2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan