Kegagalan membayar gaji pemain antara punca utama gejala jual perlawanan - PFAM
REZAL ZAMBERY YAHYA
KUALA LUMPUR 17 Feb. - Kegagalan majikan
membayar gaji pemain adalah punca utama yang membuka ruang kepada gejala
menjual perlawanan dalam kancah bola sepak tempatan. Keinginan untuk hidup mewah juga mungkin
mendorong pemain mengambil rasuah kerana wang sering menjadi ‘motivasi’ kepada
mereka yang terlibat dalam gejala itu, kata Presiden Persatuan Pemain Bola
Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya.
Menurut Rezal, beliau tidak menuding jari atau
menujukan kenyataan ini kepada persatuan tertentu, sebaliknya bercakap secara
umum dan meminta semua majikan dalam Liga Malaysia (Liga M) agar tidak
mewujudkan ‘keterdesakan’ dalam kalangan pemain.
“PFAM tidak merujuk kepada mana-mana pasukan,
namun antara sebab utama berlakunya gejala menjual permainan adalah disebabkan
kegagalan majikan dalam melunaskan bayaran gaji pemain mereka.
“Bagi mengelak masalah terus berlaku, majikan
perlu mengambil inisiatif terbaik untuk tidak membuka ruang kepada sebarang
bentuk ‘keterdesakan’ pemain supaya mereka tidak terlibat dalam gejala tidak
sihat ini.
“Tidak semestinya (faktor gaya hidup mewah
mendorong gejala rasuah), namun saya tidak menafikan wang memang motivasi utama
dalam kes-kes rasuah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Bola sepak tempatan baru-baru ini digemparkan
dengan isu rasuah selepas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mendakwa terdapat
pemain mereka terbabit mengatur perlawanan ketika skuad Bujang Senang tewas 2-3
kepada Felcra FC di Stadium Negeri, minggu lalu.
Ekoran dakwaan tersebut, Mahkamah Majistret
Kuching kelmarin membenarkan perintah tahanan reman selama enam hari ke atas
dua pemain Bujang Senang dan seorang bookie untuk membantu siasatan.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai kes
melibatkan Sarawak, Rezal menegaskan, masih terlalu awal untuk bercakap
mengenainya.
“Bagaimanapun, sekiranya terbukti tuduhan
tersebut betul, saya fikir itu adalah tindakan yang amat memalukan dan kami
menggesa agar hukuman keras dijatuhkan terhadap pelaku,” katanya.
Dalam pada itu, Rezal turut memberitahu,
walaupun Liga M sudah lama memasuki era profesional, masih ada pemain yang
datang kepada mereka untuk membuat laporan mengenai kes tidak dibayar gaji.
“Ada pemain yang datang dari pasukan Liga Super,
Liga Perdana dan Piala FAM telah membuat laporan kepada kami.
“Kesemua kes tersebut telah dibawa kepada FAM
(Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan kami masih menunggu tindakan seterusnya
daripada Jawatankuasa Status dan Jawatankuasa FAM untuk perkembangan ini,” kata
bekas pemain tengah Malaysia dan Negeri Sembilan itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan