KEVIN sedang mengenal
pasti beberapa stadium untuk diambil alih bagi memberi peluang kepada skuad
tertentu untuk dijadikan gelanggang rasmi.
Johor Bahru: Isu mengenai
pasukan yang berkongsi stadium dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) bakal
terlerai apabila Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP)
sedang mengenal pasti beberapa stadium untuk diambil alih bagi memberi peluang
kepada skuad tertentu untuk dijadikan gelanggang rasmi.
Ketua Pegawai Eksekutif
FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, isu berkongsi stadium masih menghantui Liga M
walaupun industri bola sepak sudah lama berada di era profesional dan ia harus
ada pendekatan terbaik untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
Bagaimanapun, beliau
berkata, rancangan itu harus dipersetujui Lembaga Pengarah FMLLP dan ia
bersifat langkah jangka panjang.
"FMLLP akan mengenal
pasti terlebih dulu stadium mana yang sesuai sebelum membuat pelaburan dengan
menaik taraf fasiliti di stadium yang dikenal pasti itu. Jika semua berjalan
lancar, tiada lagi isu berkongsi stadium.
"Jika kita biarkan
beberapa pasukan berkongsi stadium dan tidak ambil inisiatif, saya takut isu
ini akan berlarutan sehingga ke 10 atau 12 tahun dan ia tiada jalan
penyelesaian.
"Mengambil alih
stadium yang tidak digunakan adalah satu langkah realistik kerana dengan cara
demikian, penaja yang ingin menaja sukan bola sepak akan lebih ada keyakinan
apabila melihat kesungguhan FMLLP memartabatkan Liga M sekali gus membuka ruang
untuk mereka melabur," katanya pada sidang media di majlis perjanjian
kerjasama FMLLP dan Shopee yang menaja saingan Piala FA musim ini.
Kevin berkata, usaha itu
kemungkinan akan dimulakan dalam saingan Liga Perdana dan ia adalah salah satu
perancangan dalam rangka pembangunan 50 tahun bola sepak yang diumumkan
baru-baru ini.
Tambahnya, rangka
pembangunan bola sepak dibahagikan setiap lima tahun untuk mencapai sasaran 50
tahun dan dalam tempoh lima tahun pertama dan kedua, keutamaan adalah mengambil
alih stadium dan meningkatkan fasiliti.
"FMLLP akan mengambil
inisiatif apa juga perancangan dan mana-mana pelabur yang ingin melabur boleh
berbincang dengan kami. Malah, untuk pasukan yang akan menggunakan stadium
sebagai gelanggang rasmi juga boleh mengadakan perbincangan.
"Mengenai anggaran
pelaburan untuk mengambil alih stadium, saya tidak dapat beri jumlahnya sebab
ia bergantung kepada lokasi dan kami menyasarkan stadium di sekitar Lembah
Klang memandangkan banyak pasukan dari kawasan berkongsi stadium,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan