KEVIN mahu penyokong
faham konsep pasukan 'feeder'.
JOHOR BAHRU: Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti
Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam mahu penyokong faham dengan
status pasukan 'feeder' yang digunakan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan
Terengganu FC II (TFC II) dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) musim
ini.
Katanya, pemain yang beraksi dalam saingan Liga Super dan
kemudian diturunkan ke Liga Perdana masih boleh bermain kerana tarikh tutup
jendela perpindahan belum berakhir.
"Siapa saja boleh beraksi sebelum tarikh perpindahan
berakhir dan tiada isu mengenai apa yang digembar-gemburkan oleh sesetengah
pihak dan saya amat kecewa dengan dakwaan itu.
"Untuk makluman, pemain boleh beraksi dengan mana-mana
pasukan. Sebagai contoh, pemain boleh beraksi dengan pasukan A dan kemudian
bermain dengan pasukan B kerana dalam tempoh itu jendela perpindahan masih
terbuka.
"Semua pasukan sudah bersetuju apabila ada pasukan feeder
dalam saingan Liga M dan mereka faham dengan syarat mengenai perkara berkenaan
malah tiada bantahan. Kenapa ada suara-suara dari luar yang
mempertikaikannya?" katanya.
Musim ini, hanya JDT II dan TFC II yang menggunakan konsep
pasukan feeder dalam saingan Liga M dan prinsip utama kedua-dua kelab itu
adalah sebagai sokongan kepada pasukan utama iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan
Terengganu FC I (TFCI).
Kevin menambah, kedua-dua pasukan itu boleh membuat pertukaran
pemain antara pasukan utama dan pasukan [feeder' malah ia sudah lama diamalkan
di liga Eropah serta tidak salah untuk diperkenalkan di dalam kancah bola sepak
Malaysia.
"Pada mesyuarat ahli lembaga pengarah FMLLP tidak lama
lagi, saya akan memohon untuk membuat pencerahan untuk tidak lagi menggunakan
perkataan 'feeder' dan saya tidak boleh tukar kerana ia dalam 'manual' Liga M
dan perlu mendapat persetujuan ahli lembaga pengarah.
"Mungkin saya akan cadangkan nama ditukar kepada pasukan
simpanan (reserve team) dan ia beri ruang kepada pemain lain yang tidak dapat
beraksi dalam pasukan pertama untuk mendapat tahap kecergasan perlawanan (match
fitness)," kata Kevin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan