PEMILIHAN FAM berdasarkan kepada pengiktirafan bahawa pelbagai program
pembangunan bakat muda yang diusahakan badan induk berkenaan kini berada di
landasan tepat. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
KEJAYAAN tiga pasukan muda negara melakar sejarah tahun lalu
dengan melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
membolehkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dinobatkan sebagai penerima
Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis
Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2017, Khamis ini.
Tiga skuad muda negara yang berjaya menempatkan diri dalam
kelompok elit benua itu ialah Skuad Bawah 23 Tahun, Bawah 19 Tahun dan Bawah 16
Tahun.
Pemilihan FAM itu berdasarkan kepada pengiktirafan bahawa
pelbagai program pembangunan bakat muda yang diusahakan badan induk berkenaan
kini berada di landasan tepat.
“Pencapaian itu wajar diakui kerana ia peningkatan ketara
selepas sekian lama bola sepak negara tidak berjaya untuk beraksi di peringkat
tinggi secara kerap.
“Saya percaya pengiktirafan ini akan menjadi pendorong kepada
usaha lebih mantap FAM untuk menggapai misi jangka panjang meletakkan bola
sepak negara di tahap yang layak dibanggakan,” kata Presiden SAM, Ahmad Khawari
Isa.
Pengiktirafan itu juga hadir ketika FAM begitu gigih mencipta
gelombang perubahan baru secara komprehensif, termasuklah daripada segi
penganjuran kejohanan dan juga pendidikan kejurulatihan.
Antara transformasi yang diusahakan FAM – serentak dengan
pemilihan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim – termasuklah
memperkemaskan program kejurulatihan, pencarian bakat dan penganjuran liga di
peringkat negeri.
FAM juga kini menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan
Sukan (KBS) bagi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang menjadi
kilang penghasilan bakat muda secara berterusan.
SAM akan sekali lagi memberikan pengiktirafan kepada seluruh
warga sukan negara menerusi penganjuran Majlis Anugerah SAM-100 PLUS 2017 yang
akan berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Khamis ini.
Majlis Anugerah SAM-100PLUS menjadi platform pengiktirafan
terbaik selepas rentetan pencapaian hebat atlet negara dalam mewarnai kancah
sukan negara sepanjang tahun lalu.
Atlet terbaik akan bersaing untuk dua kategori anugerah utama –
Atlet Terbaik SAM-100Plus 2017 dan Atlet Para Terbaik 2017.
Majlis anugerah berkenaan juga memberi pengiktirafan kepada
warga kewartawanan sukan menerusi tujuh kategori anugerah dipertandingkan.
Pemenang
terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai
penerima ‘Anugerah Siebel’ dengan hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan