KUALA LUMPUR: Pemain tengah berdarah kacukan yang beraksi
bersama FELDA United, Curran Lawrance Singh Ferns tanpa berselindung mengakui
dia mengintai peluang untuk menyertai skuad Harimau Malaya pada masa akan
datang.
Untuk itu, pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu
berbesar hati untuk menabur khidmatnya jika mendapat panggilan daripada
pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk mengharungi mana-mana aksi
antarabangsa selepas ini.
"Ya, sebelum ini pun saya pernah menyatakan hasrat saya
secara terang-terangan bahawa saya mahu mewakili skuad kebangsaan.
"Jadi, saya bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya
sekiranya mendapat panggilan selepas ini," katanya ketika dihubungi, hari
ini.
Bekas pemain tengah Johor Darul Ta'zim II (JDTII) itu diturunkan
selaku kesebelasan utama dalam dua aksi Liga Perdana musim ini dan memperaga
aksi memberangsangkan apabila turut membantu jaringan ketika pasukan itu
membenam PDRM 6-2 pada aksi kedua.
Pemain yang pernah beraksi bersama Brisbane City itu boleh bermain
di dua posisi iaitu tengah dan pertahanan namun pengendali 'The Fighters', B
Sathianathan memilih untuk menurunkannya di posisi tengah pada musim ini.
Terdahulu, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar
mengakui satu langkah yang wajar untuk skuad Harimau Malaya memanfaatkan
kemampuan pemain berdarah campuran yang memiliki kelayakan untuk menyarung
jersi negara sebagai usaha memantapkan lagi barisan pemain negara.
Bagaimanapun, bekas penolong jurulatih Olimpik Moscow 1980 itu
mengingatkan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan bahawa mereka perlu
memastikan pemain naturalisasi berkenaan bagus dan mampu memberi nilai tambah
untuk membantu skuad kebangsaan.
"Kalau setakat mahu mengisi tempat dalam skuad kebangsaan
tetapi taraf permainan mereka pun lebih kurang sama dengan pemain tempatan,
lebih baik kita beri peluang kepada pemain tempatan saja," katanya ketika
dihubungi, semalam.
FERNS intai peluang sarung jersi Harimau
Malaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan