SUBKHIDDIN ketika
sidang media bulanan unit pengadil di bilik liga super, Wisma FAM. FOTO/OWEE AH
CHUN
KUALA LUMPUR: Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) optimis betapa pelantikan 14 pegawai pembangunan
pengadil bagi setiap negeri mampu menggalakkan lagi penyertaan pengadil muda
dalam profesion berkenaan.
Jelas Pengerusi
Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, 14 pegawai terbabit akan
bertanggungjawab membantu pembangunan pengadil di peringkat negeri dan
memastikan pengadil Kelas 3 mengikuti segala tugasan yang ditetapkan sebelum
mereka mengambil peperiksaan Kelas 1.
"Pengadil Kelas 3
memiliki waktu rehat selama dua tahun sebelum boleh mengambil peperiksaan Kelas
1 namun berdasarkan sistem sebelum ini, kita agak ketinggalan terutamanya dari
segi pembabitan pengadil muda.
"Selepas selesai
mengambil peperiksaan Kelas 3, kebanyakan dari mereka tidak terbabit dengan
sebarang perlawanan dan tidak aktif dengan persatuan bolasepak negeri (FA)
ketika menunggu untuk mengambil peperiksaan Kelas 1.
"Jadi pegawai
pembangunan pengadil akan memantau pengadil yang sudah lulus Kelas 3 supaya
mereka dapat terus bergiat aktif. Jadi apabila mereka mengambil peperiksaan
Kelas 1 nanti, mereka bersedia untuk sekurang-kurangnya menjadi pengadil Kelas
B," katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.
Setakat ini, FAM memiliki
236 pengadil yang akan ditugaskan untuk mengadili semua peringkat pertandingan
termasuklah Liga Super, Liga Perdana, Piala Presiden, Piala FAM dan juga Liga
Bolasepak Rakyat (LBR).
Berdasarkan pecahan
mengikut kelas, seramai 63 pengadil dalam kategori Kelas A dan A1 sementara 79
pengadil Kelas B dan B1 manakala 98 pengadil lagi adalah pengadil Kelas C dan
juga C1.
Mengikut pecahan negeri,
Kuala Lumpur memiliki jumlah pengadil paling ramai iaitu 32 orang diikuti Perak
dengan 25 orang sementara Selangor serta Melaka masing-masing memiliki 22
pengadil.
Sabah dan Perlis memiliki
jumlah pengadil yang paling rendah selepas masing-masing sekadar memiliki lapan
dan lima pengadil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan