AKSI antara Pahang dan
Selangor. FOTO/PAHANG FA
KUALA LUMPUR: Kontroversi mengenai keputusan sepakan penalti
menyaksikan pengadil serta pembantunya yang mengendalikan perlawanan Liga
Super, membabitkan Selangor dan Pahang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur,
Cheras, Sabtu lalu, berdepan penggantungan dua minggu.
Perkembangan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh pada sidang media
hari ini dan menegaskan, tindakan itu diambil selepas mereka mendapati
kedua-dua pegawai perlawanan itu gagal memberikan keputusan seperti yang
dijangkakan.
Jelas Subkhiddin, keputusan yang dijangkakan adalah sepakan
percuma di luar kotak penalti, namun dua pegawai terbabit didapati menggunakan
informasi yang salah apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan
pelawat.
"Jawatankuasa penilai pengadil menghantar laporan mengenai
isu terbabit dan turut menghantar klip video mengenai insiden itu selepas tamat
perlawanan. Jadi, kita terus melaksanakan tindakan segera meskipun tidak
menerima sebarang laporan dari pasukan Selangor.
"Bukan itu sahaja, kita turut melihat keseluruhan prestasi
mereka sepanjang 90 minit perlawanan dan kita mendapati mereka tidak bersedia
dari sudut fizikal. Mereka tidak begitu cergas untuk berada di tempat yang
sepatutnya.
"Selain itu, kemampuan dua pegawai perlawanan itu untuk
membaca perlawanan (keseluruhan) juga agak rendah. Jadi, kami kecewa mengenai
perkara ini dan sebab itulah kita mengambil tindakan untuk menggantung
mereka," katanya.
Kontroversi tercetus pada aksi keempat Liga Super itu apabila
skuad Tok Gajah dihadiahkan sepakan penalti, apabila bola terkena tangan
pertahanan The Red Giants, Willian Pacheco meskipun kesalahan itu dilakukan di
luar kotak penalti.
Sepakan penalti itu mudah disempurnakan Francis Forkey Doe untuk
menjadikan kedudukan 3-1, sekaligus dilihat menjadi punca anak buah P Maniam
gagal untuk bangkit pada perlawanan terbabit.
Selain dua pegawai perlawanan pada aksi itu, Subkhiddin turut
mengumumkan pengadil bagi aksi Liga Perdana membabitkan aksi Kuantan FA dan
MIFA digantung dua minggu, sementara pengadil bagi perlawanan antara Negeri
Sembilan bertemu Terengganu FC diberi amaran pertama.
"Ketika mereka berdepan penggantungan, mereka bukan sekadar
goyang kaki kerana mereka perlu meneruskan latihan di peringkat lebih bawah di
negeri masing-masing. Mereka akan mengadili aksi tempatan supaya dapat
menambahbaik mutu pengadil mereka.
"Kita akan menghantar pegawai pembangunan pengadil bagi
memastikan mereka menepati kehendak yang dimahukan. Dalam tempoh dua minggu
penggantungan itu, kita akan menilai sama ada mereka mampu untuk kembali
melaksanakan tugas bagi perlawanan seterusnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan