PEMERGIAN jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim
Swee bersama penolongnya, Brad Maloney ke Madrid, Sepanyol, bermula hari ini,
adalah bagi menimba ilmu demi masa depan bola sepak negara.
Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk
Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya berharap ada formula terbaru dapat di timba
dari Atletico Madrid untuk diberikan kepada pemain negara sebagai persiapan
Sukan Asia 2018 di Indonesia nanti.
Beliau berkata, Kim Swee mampu melakar kejayaan sebagai jurulatih
tempatan paling berjaya satu hari nanti dan beliau sudah membuktikan kemampuan
sebenarnya dalam Kejohanan AFC di China, bulan lalu.
"Atletico Madrid adalah destinasi tepat untuk mereka
menimba ilmu selain hubungan baik Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
dengan pihak di Sepanyol.
"Tempoh kunjungan sebulan oleh Kim Swee dan Maloney turut
membabitkan beberapa program bersama pasukan kebangsaan Sepanyol,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan
kunjungan ke atas bekas pemain bola sepak negara, V Krishnasamy yang menghidap
penyakit kencing manis di Pusat Arumperumjothi Vallaral, Batu Maung, pagi tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Perkongsian Liabiliti
Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam dan Pengerusi Pertandingan
Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), L Karthiresan.
Sementara itu, Hamidin menambah kejayaan sesuatu pasukan
terletak pada usaha gigih dan kerjasama berpasukan pemain dalam melakar
kejayaan sekali gus melonjak dan mengharumkan nama negara.
“Sokongan
penuh diberikan kepada Kim Swee dan Maloney untuk menaik taraf dan mutu sukan
bola sepak negara termasuk mengharapkan sokongan padu seluruh peminat bola
sepak negara," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan