KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama)
-- Ujian sampel B bagi kes doping membabitkan penjaga gol Bawah-23 (B-23)
kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang gagal ujian sampel A sewaktu
Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changsu, China, telah dibuat pada Isnin.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk
Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan media hari ini mengesahkan perkara itu
apabila Ahmad Syihan Hazmi telah memohon supaya sampel B diuji.
"AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) akan mengambil tindakan
lanjut selepas menerima keputusan rasmi ujian sampel B berkenaan dan buat masa
ini, Ahmad Syihan Hazmi tidak dibenarkan beraksi bersama pasukan Negeri
Sembilan sepanjang tempoh penggantungan sementara 60 hari itu," katanya.
Menurut kenyataan media oleh FAM, Pengerusi Jawatankuasa
Tatatertib dan Etika AFC telah memutuskan bahawa Ahmad Syihan Hazmi dikatakan
bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan dikenakan
penggantungan sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala
aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan
perlawanan rasmi.
Berkuat kuasa serta merta, Ahmad Syihan Hazmi telah dilarang
beraksi bersama pasukannya, Negeri Sembilan bermula perlawanan kedua Liga Super
2018 bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu (7
Feb) biarpun beliau telah turun beraksi pada perlawanan pertama bertemu PKNP FC
pada 3 Februari.
Untuk rekod, Hamidin berkata FAM telah menerima surat daripada
AFC pada 6 Feb, menyatakan bahawa Ahmad Syihan Hazmi didapati positif
metabolite methandienone, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi
Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari. -
Bernama
Ahmad Syihan dikenakan
penggantungan sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala
aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan
perlawanan rasmi. - Foto media sosial
Tiada ulasan:
Catat Ulasan