KUALA LUMPUR: Arena bola sepak tanah air dipalit dengan
kontroversi baru apabila penjaga gol muda negara, Ahmad Syihan Hazmi gagal
dalam ujian doping ketika menyertai Kejohanan Bawah 23 (B-23) Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC) di China bulan lalu.
Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
hari ini.
Ujian sampel B bagi kes doping Ahmad Syihan dibuat semalam
selepas ujian sampel A yang dilakukan ketika kejohanan di Changshu, disahkan
positif metabolite methandienone.
Syihan, 22, dipilih untuk menjalani ujian doping selepas
perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di Stadium Changshu pada 10 Januari
yang menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 1-4.
Dia bagaimanapun tidak beraksi dalam sebarang perlawanan di
kejohanan itu dengan Kim Swee menurunkan Ifwat Akmal Chek Kassim pada
perlawanan bertemu Iraq itu.
Seorang lagi penjaga gol negara, Haziq Nadzli diturunkan pada
tiga perlawanan berikutnya sehingga Malaysia tewas 1-2 kepada Korea Selatan
pada suku akhir.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata pihaknya
menerima surat daripada AFC pada 6 Februari lalu, memaklumkan Ahmad Syihan
didapati positif metabolite methandienone iaitu sejenis bahan larangan dalam
senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada
10 Januari 2018.
"Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan
Ahmad Syihan dikatakan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC
dan dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari daripada mengambil
bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik,
persahabatan dan rasmi berkuatkuasa serta merta," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Keputusan ini pasti turut memberi kesan kepada pasukannya,
Negeri Sembilan apabila dia dilarang beraksi bermula perlawanan kedua Liga
Super bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 7
Februari lalu biarpun turun beraksi pada perlawanan pertama bertemu PKNP FC
empat hari sebelum itu.
Ahmad Syihan sudah memohon untuk sampel B diuji dan ia dibuat
semalam. Dia kini hanya menunggu keputusan sama ada kekal positif atau negatif.
AFC akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima keputusan rasmi
ujian sampel B berkenaan dan buat masa ini, Ahmad Syihan tidak dibenarkan
beraksi bersama Negeri Sembilan sepanjang tempoh penggantungan sementara 60
hari itu.
AHMAD Syihan gagal dalam ujian doping ketika menyertai Kejohanan B-23 AFC di China bulan lalu. - Foto fail
Tiada ulasan:
Catat Ulasan