KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara (B-23)
Ahmad Syihan Hazmi menafikan mengambil sebarang bahan terlarang namun mengakui
kesilapannya mengambil bahan sumber protein mungkin menjadi penyebab dia gagal
ujian doping yang dilakukan ketika Kejuaraan AFC B-23 di Changshu, China bulan
lalu.
Dia berkata, bahan protein yang diambilnya sejak
Mei tahun lalu itu hanya makanan tambahan untuk kecergasan selepas melakukan
latihan.
"Saya cuma mengambil protein untuk pemulihan
tubuh selepas melakukan latihan dan saya sudah meneliti kandungan protein itu,
tiada bahan terlarang. Tapi biasa lah, mungkin orang nak jual barang, tak akan
beritahu ada bahan terlarang dalam produk mereka.
"Saya memang tidak tahu menahu langsung (ada
bahan terlarang) dan protein ini saya hanya ambil tahun lalu, sebelum ini saya
ada ambil protein lain juga. Memang saya agak terkejut bila dapat tahu ujian
doping saya positif, sebab saya tak ambil barang terlarang.
"Ketika di China, memang ada doktor pasukan
bertanyakan kepada semua pemain sama ada, ada pemain mengambil ubat atau
makanan tambahan, saya beritahu mengenai protein ini dan tidak ada
masalah," kata Syihan ketika dihubungi, di sini hari ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini
mengesahkan bahawa ujian sampel B bagi kes doping Syihan dibuat semalam selepas
ujian sampel A yang dilakukan Changshu disahkan positif bahan terlarang,
metabolite methandienone.
Pemain berusia 22 tahun itu dipilih secara rawak untuk
menjalani ujian doping selepas perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di
Stadium Changshu pada 10 Januari lalu.
Syihan tidak beraksi langsung sepanjang kejohanan kerana
ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menurunkan Ifwat
Akmal Chek Kassim pada perlawanan bertemu Iraq itu dan seorang lagi penjaga gol,
Haziq Nadzli pada tiga perlawanan berikutnya sehingga Malaysia tewas 2-1 kepada
Korea Selatan pada suku akhir.
Pada 6 Februari lalu, FAM menerima surat daripada
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menyatakan bahawa Syihan didapati positif
metabolite methandienone, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi
Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib
dan Etika AFC memutuskan bahawa Syihan dikatakan bersalah melanggar Artikel 6
Peraturan Anti-Doping AFC dan dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari
daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk
perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan perlawanan rasmi.
Pemain Negeri Sembilan itu kini hanya menunggu
keputusan ujian sampel B sama ada kekal positif atau negatif.
"Sekarang saya hanya berserah kepada Allah dan
saya anggap ini ujian serta pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati.
Saya berharap keputusan berbeza untuk ujian sampel B, jika positif sekali pun,
saya berharap tidak dikenakan hukuman berat," katanya.
Syihan dilarang beraksi bersama pasukannya, Negeri
Sembilan bermula perlawanan kedua Liga Super 2018 bertemu Kuala Lumpur di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu lalu biarpun dia sudah beraksi
pada perlawanan pertama bertemu PKNP FC pada 3 Februari lalu.
PENJAGA gol skuad B-23 tahun negara, Ahmad Syihan Hazmi menafikan mengambil sebarang bahan terlarang namun mengakui kesilapannya mengambil bahan sumber protein mungkin menjadi penyebab dia gagal ujian doping. Foto Aswadi Alias
Tiada ulasan:
Catat Ulasan