JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan
memanggil pemain senior, muda dan naturalisasi sebagai ramuan dalam membentuk
skuad kebangsaan yang lebih mantap. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
KUALA LUMPUR: Adunan pemain
senior, muda dan naturalisasi bakal menjadi ramuan jurulatih, Tan Cheng Hoe
bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap.
Malah, beberapa nama
daripada tiga gabungan itu sudah berada dalam perancangannya untuk dipanggil
apabila membuat persiapan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang
Lubnan, pada 27 Mac ini.
Jurulatih Harimau Malaya
itu berkata selepas menilai persembahan pemain muda pada Kejohanan Bawah 23 AFC
di China bulan lalu selain aksi sepanjang tiga perlawanan liga setakat ini,
beliau sudah mendapat gambaran awal mengenai pasukan bakal dibentuk.
"Persembahan di China
membuktikan kita mempunyai ramai pemain muda yang boleh dipertaruhkan untuk
skuad kebangsaan pada masa depan. Sudah pasti akan ada beberapa pemain yang
bakal saya serapkan ke skuad utama.
"Pada masa sama, saya
tidak akan menutup pintu kepada pemain senior kerana pengalaman mereka juga
sangat berguna untuk pasukan kebangsaan.
"Pandangan yang
mengatakan sudah sampai masanya rombakan besar-besaran dilakukan ke atas skuad
kebangsaan dengan menggunakan sepenuhnya tenaga muda tidak boleh diguna pakai.
Kita tetap perlukan pemain senior," kata Cheng Hoe.
Jurulatih itu juga
menegaskan beliau akan turut membuka pintu untuk lebih ramai pemain naturalisasi
menyarung jersi Harimau Malaya.
"Kalau pemain
naturalisasi memang bagus dan layak mewakili negara, mengapa perlu kita sisih
mereka, apatah lagi jika mereka memiliki pertalian darah dengan negara kita.
"Tanggapan mereka
tidak memiliki 'jiwa' Malaysia kerana tidak dilahirkan atau dibesarkan di sini,
tidak relevan kerana setiap pemain memiliki semangat untuk menang walau pasukan
mana juga diwakili.
"Buktinya, beberapa
pemain naturalisasi seperti Matthew Davies (Pahang), Darren Lok (Johor Darul
Ta'zim), Brendan Gan (Perak) yang diberi peluang mewakili Malaysia sudah
memberi komitmen 100 peratus.
"Bagi
saya, untuk berjaya, kita perlu sentiasa berfikiran positif. Sebagai jurulatih,
berdasarkan situasi sekarang, saya melihat gabungan pemain muda, senior dan
naturalisasi adalah adunan terbaik untuk pasukan kebangsaan kita," kata
Cheng Hoe lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan